Lemang kayu api tetap relevan

Lemang kayu api tetap relevan

AMRAN Kasim menyusun lemang yang siap dibakar untuk dijual kepada pelanggan terutama pelancong luar di gerainya di Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Lemang yang dibakar menggunakan kayu api lebih beraroma dan enak serta sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peniaga, Amran Kasim, 47, berkata, dia yang berniaga selama 18 tahun di Simpang Ampat di sini, masih mengekalkan cara tradisi, meskipun mengakui sedikit renyah.

Menurutnya, pelanggan yang singgah di gerainya pasti bertanyakan kaedah membakar, sama ada menggunakan kayu api atau cara moden seperti dalam tong drum.

“Pelanggan mahu yang original (asli) dan mereka akan tanya dulu sebelum beli. Kalau tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan, saya jemput mereka masuk ke dalam gerai untuk melihat sendiri bagaimana lemang dibakar.

“Lemang kayu api masih relevan dan menjadi pilihan termasuk pelanggan dari Singapura. Sepanjang Ramadan, saya sediakan sehingga 40 batang lemang sehari menggunakan 10 kilogram  beras pulut,” katanya ketika ditemui.

Tambah Amran, dia membuka kuota 1,000 batang untuk tempahan sempena Syawal kali ini.

Katanya, cabaran utama yang dihadapi sebagai peniaga adalah mengekalkan harga kerana saban tahun dihimpit kenaikan kos seperti buluh, santan dan beras pulut.

“Saya masih mengekalkan harga lama iaitu antara RM12 hingga RM18 sebatang. Saya cuba bertahan dengan harga lama supaya tidak membebankan pelanggan yang kurang berkemampuan.

“Pada masa sama, juadah pelengkap lemang iaitu rendang turut terkena tempias. Saya terpaksa kurangkan sedikit kuantiti daging agar harganya kekal RM10 sebekas,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN