PETALING JAYA: Seorang lelaki warga India cedera di kepala akibat terjatuh ketika mandi di air terjun Taman Rimba Kanching, dekat sini hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 2.31 petang.
“Seramai enam anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang ke lokasi kejadian.
“Sebaik sahaja tiba, kami dimaklumkan terdapat seorang lelaki warga India berusia 29 tahun cedera di bahagian kepala akibat terjatuh di air terjun berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Norazam berkata, mangsa dibawa keluar oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
“Difahamkan mangsa datang ke lokasi berkenaan untuk mandi-manda dan mungkin dia memanjat batu di air terjun berkenaan sebelum tergelincir lalu terjatuh.
“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut,” katanya.- UTUSAN