KUBANG PASU: Seorang lelaki rentung setelah kereta Proton Persona dipandunyabertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire sebelum terbakar di Persimpangan Kampung Nongka, Napoh dekat Kilometer 19.4 Lebuh Raya Utara-Selatan di sini, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12 tengah malam itu menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku ketika MPV tersebut yang dinaiki tujuh individu berusia antara lima hingga 46 tahun dalam perjalanan dari Kaki Bukit, Perlis sebelum membelok ke kanan menghala ke Alor Setar.
“Semasa MPV itu membelok, datang sebuah Proton Persona yang bergerak terus dari Changlun menghala ke Alor Setar.
“Pemandu kereta itu bagaimanapun tidak sempat membrek dan terlanggar bahagian tepi sebelah kiri MPV berkenaan,” katanya.
Akibat pelanggaran itu, katanya, MPV tersebut telah terbalik manakala kereta Proton Persona itu pula terbakar sepenuhnya.
“Pemandu kereta itu dipercayai tersepit dan disahkan meninggal dunia dalam keadaan rentung.
“Tujuh individu yang berada dalam MPV itu pula termasuk pemandunya yang merupakan pelajar berusia 22 tahun, turut cedera dengan ada antara mereka patah rusuk kiri selain mengalami luka dan bengkak di beberapa anggota badan,” katanya.
Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Jitra untuk dibedah siasat dengan mangsa yang cedera turut dibawa ke hospital sama bagi menerima rawatan.
“Kejadian tersebut kini masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN