LUMUT: Seorang lelaki Bangladesh ditemui mati dengan kesan tikaman dipercayai dibunuh rakan senegara dalam pergaduhan di atas bumbung sebuah bangunan kedai di Sitiawan, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, mangsa ditemui berlumuran darah pada pukul 5.07 pagi dan pemeriksaan menemui lima kesan tikaman pada tubuhnya.
“Siasatan awal mendapati mangsa berusia 39 tahun dan suspek berusia 26 tahun tinggal di rumah yang sama bersama tujuh lagi lelaki warga Bangladesh.
“Kedua-duanya yang bekerja kilang kemudian dipercayai naik atas bumbung untuk berbual, manakala yang lain tidur di tingkat bawah,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kira-kira pukul 3 pagi, seorang rakan serumah terdengar bunyi bising dari bumbung seperti seseorang meminta pertolongan lantas dia mengejutkan rakannya yang lain dan terus pergi ke lokasi tersebut.
Jelasnya, mereka melihat mangsa sudah terbaring tidak sedarkan diri dalam keadaan tidak berbaju dan hanya berseluar pendek serta berlumuran darah, bagaimanapun tiada senjata ditemui di situ.
Beliau bagaimanapun menjelaskan punca dan motif kejadian masih dalam siasatan dan mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, untuk bedah siasat.
Menurut Nor Omar, suspek utama melarikan diri, manakala tujuh lelaki warga Bangladesh ditahan untuk membantu siasatan.
“Kesemua tangkapan mendapat perintah tahanan reman selama tujuh hari sehingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- UTUSAN