Lelaki ada rekod jenayah samseng mati ditembak - Utusan Malaysia

Lelaki ada rekod jenayah samseng mati ditembak

ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa yang maut selepas ditembak di hadapan sebuah restoran di Jalan Kampung Baru, Sungai Petani, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki maut selepas  ditembak dari jarak dekat oleh sekumpulan suspek bermotosikal di hadapan sebuah restoran di Jalan Kampung Baru di sini, hari ini.

Dalam kejadian pukul 12.38 tengah hari, mangsa berusia 30-an yang parah selepas terkena lapan das tembakan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad  berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa menuju ke kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire miliknya yang di parkir di hadapan sebuah restoran berhampiran lampu isyarat di jalan tersebut.

“Sebelum itu mangsa makan tengah hari di restoran berkenaan bersama isteri, seorang anak lelaki berusia lima tahun dan seorang rakannya.

“Mangsa dikatakan tiba-tiba keluar dari restoran itu meninggalkan keluarga dan rakannya yang sedang makan tengah hari menuju ke kenderaannya  di hadapan restoran itu,” katanya pada sidang akhbar di tempat kejadian di sini, hari ini .

Menurut Wan Hassan, siasatan awal mendapati mangsa dihampiri oleh empat suspek yang menunggang dan membonceng dua buah motosikal sebaik membuka pintu kenderaannya.

“Salah seorang suspek itu kemudian melepaskan lapan das tembakan dari jarak dekat dan mengenai badan dan muka mangsa menyebabkan dia mati serta merta.

“Kesemua suspek yang memakai topi keledar penutup muka penuh kemudian melarikan diri ke arah Jalan Sungai Petani-Butterworth di sini,” katanya.

Menurut Wan Hassan, semakan mendapati mangsa yang tinggal di Bedong dekat sini  mempunyai satu rekod berkaitan pengibatannya dalam gengster dan jenayah terancang mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Polis sedang menjejaki suspek dengan menemu bual saksi dan melihat televisyen litar tertutup (CCTV)  di kawasan tersebut,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya