PETALING JAYA: Sebanyak 5,021 daripada 750,903 kenderaan didapati melanggar had laju dibenarkan, sejak orang ramai mula pulang ke kampung secara besar-besaran semalam.
Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), perkara itu disahkan menerusi kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang dipasang di lebuh raya.
Katanya, daripada sejumlah 236,671 kenderaan yang melewati kamera AWAS di lampu isyarat pula, 966 didapati melanggar lampu merah.
“Pada hari pertama Ops Hari Raya Aidilfitri 2022 semalam, kesalahan memandu melebihi had laju dan melanggar isyarat lampu merah adalah yang tertinggi dilakukan pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan.
Jelas JPJ, pelaku kedua-dua kesalahan boleh dikenakan tindakan mahkamah dan tidak boleh dikompaun mengikut Seksyen 79 Akta 333 (JPJ).
“Sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM2,000. Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan seterusnya menurunkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya,” katanya.
Setakat ini, sebanyak 29 kamera AWAS dipasang di seluruh negara bagi memantau kesalahan memandu melebihi had laju dan 16 untuk memantau kesalahan melanggar lampu isyarat merah yang beroperasi sepenuhnya sejak semalam. – UTUSAN