GEORGETOWN: Parti Gerakan negeri mencadangkan Jambatan Pulau Pinang dilebarkan dengan penambahan satu laluan di kedua-dua belah jambatan itu bagi mengurangkan kesesakan yang berlaku hampir setiap hari ketika ini.
Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, cadangan itu antara yang wajar dipertimbang kerajaan negeri dan pihak berkuasa berkaitan dalam mengatasi masalah kesesakan lalu-lintas di atas jambatan yang semakin buruk sejak kebelakangan ini.
Jelas beliau, satu laluan dicadangkan ditambah dari bahagian pulau ke Mak Mandin di Seberang Perai Utara (SPU) dan satu lagi yang menyambungkan Autocity, Juru ke bahagian pulau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Tong Keong, sebelum ini kerja-kerja melebarkan Jambatan Pulau Pinang pernah dilaksanakan ketika Parti Gerakan mentadbir negeri itu.
”Jumlah kenderaan yang menggunakan jambatan itu yang semakin meningkat dan kesesakan yang serius berlaku apabila terdapat kejadian kemalangan di atas jambatan. Kerajaan negeri harus menangani isu ini dengan segera kerana akan memberi impak kepada pembangunan industri pelancongan Pulau Pinang,” katanya. – UTUSAN