PETALING JAYA: Sebarang langkah yang diumumkan Kerajaan bertujuan menurunkan kadar perokok di Malaysia haruslah dipuji. Sasarannya adalah untuk mengelakkan kesan kesihatan yang dihadapi perokok termasuk perokok pasif dan juga bebanan kos kesihatan yang ditanggung kerajaan.
Namun, langkah yang diumumkan haruslah memberikan keyakinan bahawa ia boleh dilaksanakan dan juga mengambil kira tabiat pengguna serta keberkesanannya.
Baru-baru ini Kerajaan mencadangkan pelaksanaan larangan penjualan rokok dan vape kepada sesiapa yang dilahirkan selepas 2005. Terdapat pelbagai reaksi dari semua pihak berkenaan cadangan ini. Ada yang menyokong dan ada juga yang berpandangan perkara ini terlalu sukar untuk dilaksanakan.
Yang paling utama ialah apakah keyakinan Kerajaan dalam pelaksanaan polisi sebegini terutamanya untuk memastikan golongan ini tidak akan merokok atau menggunakan vape apabila mencecah usia dewasa pada masa depan.
Menurut data yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), terdapat kanak-kanak yang direkodkan mula merokok seawal 10 tahun dan sebanyak 3% daripada perokok di Malaysia berusia antara 10 hingga 14 tahun.
Ini bermakna sudah terdapat kes kanak-kanak yang mula merokok walaupun larangan merokok kepada individu di bawah 18 tahun telah lama dilaksanakan. Jadi, persoalannya adalah, sama ada langkah untuk melarang sesiapa yang dilahirkan selepas 2005 untuk merokok atau menggunakan vape akan mampu menghalang mereka membuat pilihan tersebut apabila mereka mencecah usia dewasa.
Kalau kita lihat dari segi polisi larangan sahaja sama ada ia berkesan atau tidak, contoh pada masa ini telah menunjukkan polisi sebegini hanya sesuatu yang ideal dan bukannya realistik. Kita semua tahu bahawa produk vape sebenarnya masih tiada peraturan. E-liquid yang mengandungi nikotin juga tidak dibenarkan dijual sebagai barangan pengguna dan hanya boleh dijual oleh ahli farmasi sebagai ubat.
Tetapi, dari segi realiti, produk ini mendapat banyak permintaan kerana orang ramai terutamanya perokok melihat ia sesuatu yang kurang mudarat berbanding merokok dan menggunakannya untuk mengurangkan atau berhenti merokok.
Memperkenalkan konsep pengurangan kemudaratan sebagai alternatif mampu mengurangkan impak merokok kepada kesihatan pengguna dan konsep ini telah diterima dan diguna pakai oleh banyak negara-negara maju yang lain.
Terdapat banyak kajian saintifik yang telah dilakukan di seluruh dunia yang dijamin kredibilitinya termasuk dari Public Health England yang telah membuktikan bahawa e-rokok atau vape merupakan 95 peratus kurang memudaratkan berbanding rokok tembakau tradisional.
Saya berpendapat, sekiranya kerajaan mengadaptasikan konsep pengurangan kemudaratan bagi perokok tegar berhenti merokok maka, peratusan penurunan kadar merokok yang ingin dilihat kerajaan akan lebih menyerlah berbanding mengharamkan terus penjualan kepada generasi tertentu yang agak sukar untuk dilaksanakan dengan terkawal.
New Zealand merupakan antara negara dunia yang terbuka menerima e-rokok dan mempromosikan peranti tersebut sebagai satu cara untuk rakyatnya berhenti merokok sejak tahun 2017 malah ia mendapat sokongan penuh dari Perdana Menterinya, Jacinda Ardern.
Kementerian Kesihatannya yakin mampu mencapai sasaran mengurangkan kadar merokok negara kepada lima peratus menjelang 2025. Buat masa ini, kadar merokok di negara kiwi itu hanyalah pada kadar 13 peratus berbanding Malaysia 21.3 peratus.
Jika dilihat pada statistik yang dikeluarkan KKM, Malaysia mencatatkan penurunan kadar merokok dari tahun 2011 iaitu sebanyak 23.1 peratus, 22.8 peratus pada tahun 2015 dan 21.3 peratus pada tahun 2019.
Saya yakin penurunan ini dipengaruhi oleh faktor peralihan perokok dari produk tembakau tradisional kepada vape yang mula memasuki pasaran negara sejak 2010. Jika konsep pengurangan kemudaratan ini dipraktikkan di negara kita, tidak mustahil negara boleh mencapai peratus satu digit dalam masa 10 tahun.
Dr. Nur Khaisiyah Othman adalah pengamal perubatan lulusan dari Sechenov First Moscow State Medical University, berpengalaman dalam pelbagai disiplin perubatan sepanjang berkhidmat di hospital awam. Beliau juga pernah bertugas di Jabatan Anestesiologi dan merawat pesakit Covid-19 tahap lima.