Langkah luar kotak perlu diambil tingkatkan hasil Pulau Pinang

Langkah luar kotak perlu diambil tingkatkan hasil Pulau Pinang

AHMAD Fuzi Abdul Razak (dua dari kiri) ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-14, di Georgetown, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Langkah-langkah di luar kotak serta di luar kebiasaan dengan memikirkan idea-idea kreatif baharu untuk meningkatkan hasil Pulau Pinang perlu terus dilaksanakan walaupun kerajaan negeri telah mengambil pelbagai langkah untuk meningkatkan hasil negeri.

Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak berkata, bajet pembangunan Pulau Pinang yang diluluskan bagi tahun 2022 adalah sebanyak RM316.13 juta menunjukkan peningkatan RM22.03 juta atau 7.5 peratus berbanding dengan unjuran tahun 2022 hasil kerajaan negeri yang dianggarkan berjumlah RM485.42 juta.

“Saya dimaklumkan kerajaan negeri telah mengambil langkah drastik untuk meningkatkan hasil negeri, melalui aktiviti pelaburan, kutipan tunggakan hasil secara efektif, dan pewartaan deposit yang tidak dituntut. 

“Meskipun begitu langkah-langkah di luar kotak serta di luar kebiasaan dengan memikirkan idea-idea kreatif baharu untuk meningkatkan hasil negeri perlu dicari.  

“Di sini peranan Ahli-ahli Yang Berhormat DUN sekalian untuk menyumbang idea dan saranan dalam perkara-perkara yang boleh membantu kerajaan negeri,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-14, di sini hari ini.

Menurut beliau, kerjasama yang erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan adalah penting untuk memastikan projek pembangunan dan infrastruktur yang dirancang dilaksanakan mengikut garis masa yang ditetapkan supaya rakyat dapat menikmati manfaatnya.  

“Di bawah Rolling Plan Kedua (RP2), Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) Tahun 2022, sebanyak 189 projek di Negeri Pulau Pinang disenaraikan.

“Ia merangkumi 163 projek fizikal dan 26 projek bukan fizikal, dengan peruntukan Persekutuan yang diluluskan untuk Pulau Pinang adalah berjumlah RM997 juta iaitu bersamaan dengan 1.3 peratus peruntukan pembangunan negara,” katanya.

Tambahnya, dengan mengambil kira sumbangan Pulau Pinang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara serta prestasi pelaburan negeri baru-baru ini, maka wajarlah Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan peruntukan pembangunan yang lebih tinggi untuk Pulau Pinang. 

Selain itu, kata beliau, jaminan atau keselamatan makanan perlu menjadi keutamaan kerajaan negeri dalam memastikan sumber makanan penduduk berada pada tahap yang optimum serta pengguna mendapat bekalan makanan yang selamat, mencukupi dan bersih. 

“Program keselamatan makanan wajar diberikan tumpuan agar Pulau Pinang dan penduduknya dapat mendepani cabaran inflasi ataupun hiperinflasi yang menjadi topik hangat perbincangan penganalisis ekonomi masa ini. 

“Walaupun negeri kita ini tidak mempunyai tanah pertanian yang luas seperti negeri-negeri lain di Malaysia, kita mampu meningkatkan produktiviti tanaman melalui penggunaan varieti tanaman yang mengeluarkan hasil tinggi dalam tempoh masa yang singkat.

“Penggunaan input pertanian yang menggalakkan pertumbuhan, dan aplikasi teknologi moden yang tidak menggunakan tanah sebagai media tanaman juga boleh digunakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya