PUTRAJAYA: Penggemar aktiviti berbasikal kini mempunyai lokasi baharu untuk dikunjungi apabila Lake Cabin di Pit Stop @ Anjung Floria, Presint 4, di sini beroperasi secara rasmi mulai hari ini.
Tarikan terbaharu itu merupakan sebuah premis pelbagai fungsi yang menawarkan kedai menyewa, menjual dan membaiki basikal termasuk sebuah kafe.
Naib Presiden Kanan Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadhlun Mak Ujud berkata, Lake Cabin bermatlamat menjadi nilai tambah kepada pembangunan di Putrajaya sebagai bandar rekreasi dengan menawarkan kemudahan, ruang dan peluang untuk orang ramai melibatkan diri dalam aktiviti berbasikal.
“Ini adalah produk baharu di Putrajaya dan kepada penggemar aktiviti berbasikal, Lake Cabin adalah pit stop untuk mereka.
“Selama ini mereka (sering) berhenti di merata tempat, tetapi dengan adanya pit stop, mereka yang ingin berbasikal boleh memarkir kenderaan mereka di sini sambil menikmati sarapan atau secawan kopi sebelum memulakan aktiviti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau pelancaran Lake Cabin, di sini semalam.
Hadir sama, Pengerusi Trillion Gold Peak Sdn. Bhd., Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin.
Mengulas lanjut, Fadhlun berkata, selain menyediakan perkhidmatan sewaan, jualan dan servis basikal, Lake Cabin juga bakal menjadi pusat penganjuran sebarang aktiviti berkaitan basikal pada masa akan datang sekali gus memeriahkan lagi ruang rekreasi di Putrajaya.
“Dengan adanya sebuah kafe di lokasi sama, tarikan Lake Cabin akan lebih menonjol dalam kalangan warga yang menggemari budaya kafe sambil bersantai,” katanya. – UTUSAN