GEORGETOWN: Dalam tempoh tidak sampai 24 jam, dua kejadian terjun dari Jambatan Pulau Pinang dilaporkan berlaku dengan yang terbaru melibatkan seorang wanita dalam kejadian awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, seorang wanita dikhuatiri lemas selepas bertindak terjun dari kilometer 8.0 Jambatan Pulau Pinang dari arah pulau menghala ke Perai dekat sini.
Mangsa berusia 22 tahun itu turut meninggalkan sebuah kereta Perodua Axia berwarna merah bersama barangan peribadi di tepi tembok jambatan berkenaan.
Jurucakap bomba dan penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pukul 3.39 pagi tadi dan tiba ke situ kurang 10 minit kemudian.
Menurutnya, sebaik sahaja anggota tiba di tempat kejadian mendapati wanita terbabit telah bertindak terjun ke laut dari Jambatan Pulau Pinang.
“Tindakan anggota bomba membuat pemantauan dari atas jambatan untuk mengesan kedudukan mangsa namun dikhuartiri telah dihanyutkan oleh arus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita berusia 27 tahun ditemukan selamat oleh nelayan pantai selepas bertindak terjun dari kilometer 7.4 Jambatan Pulau Pinang dari arah pulau di sini kira-kira pukul 2.40 petang semalam.
Mangsa juga telah meninggalkan motosikal jenis KTNS Rhino 125 di tepi tembok jambatan terbabit. – UTUSAN