PETALING JAYA: Seorang bekas diplomat yang ditahan bersama anak lelakinya kerana didakwa menanam ganja di Janda Baik, Pahang, dibebaskan semalam.
Pembebasan itu selepas polis gagal mendapatkan reman kali kedua terhadap bekas diplomat berkenaan daripada Mahkamah Majistret Bentong.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, Majistret Shahrul Ekhsan Hasim tidak membenarkan permohonan reman kali kedua dibuat polis.
“Ini selepas beliau berpuas hati, antara lain tiada bukti untuk mengaitkan individu berkenaan dengan apa-apa kesalahan,” katanya di sini semalam.
Bekas diplomat berusia 78 tahun yang juga bekas Duta Malaysia ke Indonesia ditahan pada 21 Mei lalu dan direman selama tujuh hari.
Media sebelum ini melaporkan beliau yang berstatus Datuk diberkas polis selepas disyaki menanam dan memiliki ladang pokok ganja membabitkan hampir 100 batang pokok terlarang itu di kediamannya di Janda Baik, Pahang.
Dia direman sehingga 28 Mei dan disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 6B dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.
Turut ditahan anak lelakinya berusia 50-an yang ditahan di Shah Alam, Selangor. – UTUSAN