KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan sedang meneliti penyelesaian terbaik buat guru kontrak perkhidmatan (COS) yang bakal tamat perkhidmatan pada Jun 2022.
Menterinya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kementeriannya sentiasa prihatin dengan kegusaran yang dibangkitkan guru ambilan COS Jun 2020 itu.
Justeru, katanya, pihaknya sudah mengarahkan pihak yang bertanggungjawab memberi perhatian dan menyelesaikan kegusaran itu dengan kadar segera.
“Apabila ada kelapangan, saya akan baca komen-komen yang ada di media sosial saya. Dalam ruangan tersebut, selain daripada ucapan hari raya, ada juga komen yang dititipkan mengenai guru COS ambilan Jun 2020.
“Sebenarnya perkara ini sememangnya dalam perhatian saya. Kementerian Pendidikan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) sedang mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan tatacara yang berkuatkuasa.
“Pengumuman akan dibuat selepas proses tersebut selesai,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Jelas Dr. Radzi, pihaknya di kementerian komited melakukan yang terbaik demi kesejahteraan pendidikan generasi anak-anak pewaris negara. – UTUSAN