KKM aktifkan Health Alert cacar monyet dalam aplikasi MySejahtera 

KKM aktifkan Health Alert cacar monyet dalam aplikasi MySejahtera 

SIMPTOM cacar monyet.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan mengaktifkan Health Alert cacar monyet dalam aplikasi MySejahtera berkuat kuasa esok sebagai satu langkah membendung penularan wabak itu. 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pengembara yang tiba dari negara endemik cacar monyet atau dari negara yang melaporkan wabak itu akan menerima Health Alert tersebut setiap hari selama 21 hari sebagai peringatan untuk membuat pemantauan kesihatan kendiri.

Beliau berkata, sekiranya bergejala, pengembara dinasihat untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran. 

“Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di negara endemik cacar monyet atau di negara yang melaporkan kes cacar monyet untuk mengelakkan aktiviti-aktiviti yang boleh menyebabkan jangkitan wabak itu. 

“Selain itu, pengembara yang bergejala dan berkemungkinan dijangkiti virus cacar monyet untuk menunda perjalanannya ke luar negara dan rakyat Malaysia yang berada di luar negara dan menunjukkan gejala dijangkiti cacar monyet (dinasihat) untuk segera membuat pemeriksaan di fasiliti kesihatan berhampiran,” katanya dalam satu sidang media secara maya, hari ini.

Menurut Khairy, Kementerian Kesihatan juga telah mempertingkatkan survelan penyakit cacar monyet dalam negara ini. 

“Sekiranya terdapat kes yang disyaki, probable atau disahkan cacar monyet, pengamal perubatan dikehendaki membuat notifikasi kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran dalam masa 24 jam,” jelasnya. 

Mengulas lanjut, Khairy berkata, Kementerian Kesihatan juga tidak mempunyai perancangan untuk melakukan imunisasi vaksinasi bagi penyakit cacar monyet secara besar-besaran. 

Beliau berkata, ia hanya akan diberikan kepada kontak rapat kepada kes berkenaan sekiranya perlu. 

“Namun pada masa sama, ini adalah perkara yang membabitkan strategi negara dan saya dapat tegaskan di sini KKM mempunyai stok penimbal untuk keadaan seperti ini.  

“Maksudnya kita bersedia jika virus cacar monyet ini menular dalam negara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya