Kesesakan di terminal bas, jalan utama berakhir minggu ini - Utusan Malaysia

Kesesakan di terminal bas, jalan utama berakhir minggu ini

MOHD. Rosdi Daud (dua kiri) berbual dengan orang awam di teminal bas di Lembah Sireh, Kota Bharu. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kesesakan teruk di sekitar terminal bas ekspres di Lembah Sireh di sini serta jalan-jalan utama di pusat bandar ini dijangka berakhir hujung minggu ini apabila perantau beransur meninggalkan Kelantan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, setakat ini, kesesakan lalu lintas di sekitar bandar dan Lembah Sireh dapat dikawal oleh anggota trafiknya yang bertugas sepanjang masa.

“Kesesakan dalam tempoh sehari dua ini terkawal apabila anggota kita membuat kawalan yang amat baik selain memberi penekanan dalam pelbagai aspek untuk menyuraikan keadaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan terhadap keselamatan orang ramai dan penumpang bas ekspres sempena Op Selamat di Terminal Bas Lembah Sireh, di sini malam tadi.

Mohd. Rosdi berkata, pemantauan malam tadi membabitkan seramai 37 pegawai dan anggota dari Ibu pejabat Daerah (IPD) Kota Bharu dibantu lima anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Tumpuan kita dalam tempoh dua hari lagi ialah di terminal bas di Lembah Sireh, termasuk mengagihkan risalah berhubung keselamatan harta benda sepanjang musim perayaan,” jelasnya.

Mohd. Rosdi berkata, sepanjang tempoh Op Selamat kali ini, daerah Kota Bharu mencatatkan sifar kemalangan maut, selain menerima 72 borang balik kampung untuk pemantauan pihak berkuasa.

“Orang ramai diminta tidak risau untuk meninggalkan rumah masing-masing kerana pihak polis sentiasa menjalankan pemantauan secara berkala dalam tempoh Op Selamat sehingga 8 Mei ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya