PUTRAJAYA: Satu daripada tiga dewasa yang tiada gigi memerlukan prostesis atau gigi palsu sekali gus menunjukkan masih ramai rakyat memerlukan rawatan untuk penggantian gigi bagi mengembalikan fungsi utama mulut.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, malah hasil Tinjauan Kesihatan Mulut Kebangsaan bagi Orang Dewasa (2010) menunjukkan satu daripada empat orang dewasa di Malaysia mempunyai prostesis akibat kehilangan gigi.
Beliau berkata, secara amnya, 45.9 peratus daripada mereka yang masih mempunyai gigi memerlukan prostesis untuk menggantikan gigi yang hilang.
Katanya, terdapat pilihan rawatan rehabilitasi bagi mengganti fungsi gigi yang hilang seperti prostesis boleh tanggal iaitu gigi palsu atau jenis kekal seperti jambatan dan implan pergigian.
“Bagi implan pergigian adalah rawatan penggantian gigi yang diperbuat daripada bahan yang bioserasi iaitu titanium dan ia tidak memberi kesan sampingan kepada badan dan tulang pesakit dapat melekat secara terus kepada permukaan bahan titanium ini.
“Malah, ia tidak mengganggu gigi-gigi berdekatan serta lebih mudah dibersihkan berbanding dengan prostesis tetap yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Khairy berkata, bagi memastikan semua rakyat terutama dari kumpulan B40 untuk mendapatkan rawatan implan pergigian, Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menandatangani sebuah perjanjian persefahaman (MoU) dengan Straumann Group Sdn. Bhd. (Straumann Group).
Katanya, melalui MoU ini, Straumann Group yang merupakan syarikat peneraju bertaraf dunia dalam bidang implan (implantology) dan pergigian estetik berhasrat menyumbang sebanyak 3,000 pakej implan pergigian lengkap bernilai lebih RM10 juta.
“Inisiatif ini memberi manfaat kepada pesakit yang memenuhi kriteria dan akan diperincikan dalam waktu terdekat. Hanya kes-kes yang menepati indikasi dapat diberi rawatan implan pergigian ini.
“Kesihatan oral adalah kesejahteraan mulut yang akan memberi nilai tambah kepada keselesaan dan keyakinan kepada individu untuk mencapai kapasiti terbaik serta penglibatan dengan masyarakat sekeliling,” katanya.
Beliau berkata, bagi memastikan program implan pergigian ini berjaya dan tidak membawa kepada sebarang komplikasi, pemantauan berterusan oleh KKM dan komitmen pesakit untuk menghadiri rawatan susulan adalah sangat penting.
“Kajian menunjukkan sebanyak 19 hingga 65 peratus pesakit yang menerima rawatan implan pergigian mendapat penyakit mucositis, manakala satu hingga 47 peratus mendapat penyakit keradangan (peri-implantitis) sekiranya gagal dipantau secara berkala. Perkhidmatan ini dilaksanakan Pakar Pergigian Bedah Mulut dan Maksilofasial, Pakar Periodontik dan Pakar Pergigian Restoratif,” katanya. – UTUSAN