makanan

Kerajaan negeri jamin bekalan makanan Johor cukup

LEE Ting Han (tiga kiri) beramah mesra dengan pemain industri dalam majlis Sesi Mesra Pelabur di Senai, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri memberi jaminan bahawa bekalan makanan asas termasuk ayam di Johor berada pada tahap terkawal dan masih mencukupi untuk menampung permintaan pengguna.

Namun, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, terdapat kekurangan bekalan makanan terutamanya di kawasan luar bandar memandangkan permintaan tinggi sepanjang musim perayaan.

Menurut beliau, pemantauan secara harian dilakukan seramai 200 pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor untuk memastikan insiden kekurangan bekalan tidak terus berlanjutan.

“Kita ada terima aduan di sesetengah tempat terutamanya di kawasan luar bandar menghadapi sedikit masalah dari segi bekalan sebab permintaan berkali ganda sempena musim perayaan.

“Namun secara amnya, bekalan keperluan makanan di negeri ini masih berada dalam keadaan terkawal,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis Sesi Mesra Pelabur di Senai, hari ini.

Tambah Ting Han, kerajaan negeri akan mengambil tindakan bersesuaian selepas mesyuarat khas Kabinet bagi membincangkan solusi jangka pendek kepada pemasalahan kekurangan keperluan bekalan makanan.

“Kerajaan negeri memang ada program sekuriti makanan untuk menambah bekalan di Johor. Kerajaan akan bantu dari segi insentif, polisi untuk petani dan peladang supaya kita dapat meningkatkan bekalan sebagai satu solusi jangka masa panjang,” katanya.

Pada masa sama katanya, kerajaan negeri juga akan meneruskan usaha penganjuran Jualan Makmur Johor dengan memberi subsidi dan membantu meringankan bebanan rakyat.

Sementara itu, dalam satu kenyataan akhbar, Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, sebanyak 121 kompaun bernilai RM101,300 sejak 5 Februari lalu dikeluarkan ekoran penguatkuasaan Penentuan Harga Maksimum Bagi Ayam dan Telur.

Katanya, dalam tempoh tersebut KPDNHEP telah memeriksa 4,487 premis melibatkan 4,321 pemeriksaan di peringkat peruncit dan 166 pemeriksaan di peringkat pemborong dan pengeluar. 

Malah, pemeriksaan dan tinjauan stok bekalan ayam juga dijalankan di setiap peringkat rantaian pengedaran bagi memastikan tiada isu terputus bekalan ayam.

“Sehingga hari ini, kesemua 33 aduan orang ramai yang diterima oleh KPDNHEP Johor berkaitan kenaikan harga serta bekalan ayam telah selesai disiasat dan diambil tindakan kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya