PETALING JAYA: Sebuah pusat pembudayaan Melayu perlu diwujudkan di Kuala Lumpur demi memberi keadilan sosial kepada kaum Melayu sebagai masyarakat asal tanah air.
Perkara itu ditegaskan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, yang mencadangkan agar kerajaan mewujudkan pusat pembudayaan Melayu melalui kehidupan ‘in situ’.
“Amat menghairankan kenapa perkara ini tidak diberi perhatian yang sewajarnya. “Sepatutnya ibu negara ini harus mempunyai penempatan tersebut demi memberi keadilan sosial, budaya dan warisan kepada masyarakat Melayu sebagai masyarakat asal tanah air, seperti di Brickfields bagi masyarakat India dan Jalan Petaling bagi masyarakat Cina,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Majlis Kenduri Budaya di Taman Pantun, Istana Bongsu, Universiti Kebangsaan Malaysia semalam.
Dalam majlis tersebut, beliau turut melawat rumah besar usang yang dipindahkan dari Kelantan ke Universiti Kebangsaan Malaysia yang dinamakan sebagai Istana Puteri Bongsu, yang dibina pada tahun 1868.
“Masyarakat pada hari ini mesti diasuh menghargai bangunan dan artifak lama khasnya yang menerap nilai-nilai tradisional dalam seni bina Melayu,” katanya.
Pada masa sama, Rais turut menyentuh tentang kepentingan pantun sebagai bentuk komunikasi seni usang bangsa Melayu.
“Seni itu harus diajar semula melalui arus pendidikan perdana. Kemunduran seni sastera lisan ini dalam kalangan masyarakat Melayu merupakan suatu kelemahan besar lantaran pantun telah dianggap dunia sebagai warisan Melayu yang amat tinggi nilai dan tarafnya,” tegasnya.- UTUSAN