semakin terdesak

Keperluan tenaga kerja asing semakin terdesak

MOHD. ZAYAD MD. ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Kedah mendakwa keperluan tenaga kerja asing dalam banyak sektor di negara ini semakin terdesak.

Yang Dipertuanya, Datuk Mohd. Zayad Md. Ismail berkata, antara sektor yang terjejas berikutan kekurangan tenaga kerja asing adalah industri makanan, pembuatan, perladangan, perkilangan dan perkhidmatan.

Menurutnya, kekurangan tenaga kerja tersebut memberi kesan kepada sektor tersebut dalam mengekalkan kemapanan sehingga mengakibatkan kerugian.

Katanya, kekurangan tenaga kerja itu juga menjejaskan keupayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meningkatkan perkhidmatan mereka.

“Maklum balas daripada Komuniti perniagaan menyatakan bahawa mereka telah menghabiskan banyak masa dan sumber untuk mengisi isu kekurangan tenaga kerja, namun masih tidak berjaya selesaikannya. 

“Banyak usaha untuk mengambil pekerja daripada rakyat tempatan walaupun kebanyakan mereka sering meletakkan jawatan dalam tempoh enam hingga 12 bulan selepas diambil bekerja. 

“Keadaan ini secara tidak langsung mengganggu proses perniagaan mereka. Oleh itu, keperluan kepada tenaga buruh asing ini dilihat  sangat-sangat mendesak ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Zayad memberitahu, pada masa ini, majikan dalam kalangan industri masih ternanti-nanti keputusan kerajaan untuk membawa masuk pekerja asing ke negara ini setelah permohonan mereka sudah dibuat awal. 

Namun sehingga hari ini, tambahnya, Kementerian Sumber Manusia tidak  menetapkan tarikh untuk kemasukan pertama pekerja asing. 

“Malah, kebanyakan peniaga mengeluh kerana proses permohonan dan kelulusan dalam pengambilan pekerja asing dilihat tidak berjalan lancar,” ujarnya.

Beliau memberitahu, walaupun Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan sebelum ini memaklumkan seramai 24,560 pekerja asing telah menyelesaikan proses temu duga pada 27 April lalu namun masih tiada berita tentang status permohonan mereka sehingga sekarang.

Selain itu, menurutnya, jumlah yang telah selesai proses temu duga itu juga sangat rendah jika dibandingkan dengan jumlah permohonan yang dianggarkan seramai 519, 937 setakat 7 April lalu.

“Ini ditambah dengan lebih 290,000 permohonan dikatakan masih belum diproses, selain 40,000 permohonan dikatakan ditolak atas sebab-sebab tertentu.

“Daripada angka-angka ini, pastinya penantian industri untuk mendapat sumber tenaga kerja dengan kadar segera tidak akan dapat dipenuhi,” katanya.

Beliau menambah, satu penyelesaian segera perlu diambil sebagai langkah jangka pendek sehingga semua isu mengenai pengambilan tenaga kerja asing dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“DPMM Kedah melihat peri pentingnya memastikan rantaian bekalan tenaga kerja kekal stabil dan sebarang tekanan akibat daripada penawaran dan permintaan termasuk bekalan tenaga kerja kan memberi kesan terhadap ekosistem perniagaan,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN