PASIR PUTEH: Beratus kenderaan tersadai apabila bekalan minyak petrol di beberapa stesen minyak di sempadan Semerak/Kuala Besut kehabisan bekalan petrol sejak semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, dua stesen minyak di Semerak, satu di Beris Lalang, Bachok dan dua di Kuala Besut kehabisan petrol berikutan permintaan pengguna di luar jangkaan.
Seorang pengguna, Ismai Mamat, 44, berkata, bekalan petrol hanya boleh dibeli pada pukul 8 pagi ini namun terpaksa menunggu giliran dalam keadaan yang bersesak.
Menurutnya, stesen minyak di jalan utama susur keluar untuk kembali ke ibu kota menjadi tumpuan ramai sejak dua hari lalu menjadi punca minyak petrol habis.
“Hari ini saya sekeluarga menunggu sehingga dua jam untuk mengisi minyak di stesen minyak Dalam Rhu kerana kesesakan kenderaan lain yang menunggu giliran sepanjang satu kilometer termasuk di bahu jalan raya.
“Keadaan ini pastinya akan menyebabkan kami lewat tiba ke Kuala Lumpur termasuk terpaksa bersesak di Lebuh Raya Pantai Timur,” katanya ketika ditemui di stesen minyak Caltex Dalam Rhu, di sini hari ini.
Jurucakap stesen minyak yang ditemui mengesahkan keadaan itu berkata, bekalan minyak pulih seperti biasa awal pagi ini namun pertambahan pengguna adalah lebih tiga kali ganda berbanding sebelum musim perayaan.
Seorang lagi pengguna, Rohamad Abdullah, 32, berkata pengguna terpaksa sabar menunggu untuk mengisi minyak petrol sekali pun dalam tempoh yang lama kerana bekalan bahan api kenderaan masing-masing gagal menampung perjalanan yang jauh.
“Saya telah cuba berpatah balik untuk mendapatkan minyak petrol di beberapa stesen minyak yang lain termasuk di bandar Pasir Puteh namun gagal kerana masalah sama.
“Pihak berkuasa harus memberi kebenaran kepada lori tangki minyak beroperasi pada musim perayaan bagi membolehkan pengguna mendapatkan bekalan yang mencukupi,” ujarnya.
Rohamad berkata, stesen minyak pula perlu menyediakan operator pam pada musim perayaan bagi melicinkan proses pengisian minyak untuk mengelakkan kesesakan kenderaan. – UTUSAN