Kenaikan harga tiket muzium selaras pembaharuan - Perzim

Kenaikan harga tiket muzium selaras pembaharuan – Perzim

MUZIUM Kesultanan Melaka di Banda Hilir, Melaka yang dinaik taraf dengan pelbagai maklumat dan lebih interaktif mengalami kenaikan harga tiket bermula 1 Jun ini. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) optimis kenaikan harga tiket sehingga seratus peratus berkuat kuasa 1 Jun ini tidak menjejaskan kehadiran pengunjung.

Berrcakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus Besarnya, Dr. Mohd. Nasruddin Rahman berkata, harga baharu itu adalah wajar dan masih murah memandangkan kali terakhir harga tiket dinaikkan pada 2014.

Katanya, kenaikan itu juga seiring dengan usaha Perzim yang menaik taraf beberapa kemudahan selain menambah artifak baharu untuk tatapan pengunjung.

“Muzium Istana (Kesultanan Melaka) dinaik taraf dengan pelbagai informasi dan lebih interaktif. Budak-budak pun suka. Lima buah rumah di Perkampungan Hang Tuah turut dinaik taraf dan pengunjung boleh masuk dan mencuba permainan tradisional dengan bayaran RM10.

“Kami juga telah berbincang dengan Okinawa di Jepun untuk mempamerkan artifak keris yang ditemukan di sana. Pada masa sama, usaha sedang dilakukan untuk mempamerkan kapal yang digunakan Datuk Azhar Mansor untuk mengelilingi dunia.

“Ini semua nilai tambah kepada muzium-muzium berkenaan. Muzium sentiasa ada benda baharu dan saya yakin orang ramai akan berpuas hati masuk ke muzium dengan bayaran RM10,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, Perzim memaklumkan, harga tiket bagi lima muzium iaitu Muzium Kapal Selam, Muzium Kesultanan Melaka, Perkampungan Hang Tuah, Kompleks Muzium Melaka dan Kompleks Muzium Samudera akan dinaikkan antara RM2 hingga RM10 melibatkan semua kategori pengunjung.

Mohd. Nasruddin Rahman

Mohd. Nasruddin turut menafikan dakwaan harga tiket dinaikkan kerana beberapa muzium di Melaka mengalami kerugian.

Jelasnya, muzium bukanlah sebuah organisasi berteraskan keuntungan dan harga baharu itu sebenarnya langsung tidak dapat menampung perbelanjaan kos operasi yang mencecah RM500,000 sebulan.

“Overhead kita memang besar. Naik harga pun tetap tidak dapat tampung kos operasi. Matlamat kita nak tambah baik dan jadikan muzium sebagai sesuatu yang bernilai.

“Kita tidak mahu meletakkan nilai warisan sejarah kita terlalu rendah. Sebenarnya tidak ada isu berhubung kenaikan ini kerana kita mahu pengunjung menilai dan menghargai ilmu yang dia dapat di muzium dengan bayaran RM10,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya