KUALA LUMPUR: Penalti AS$200 (RM880) sehari.
Itu adalah antara faktor mengapa penyanyi, Ashira Aziz terpaksa melepaskan hasrat untuk menyertai World Championship Of Performing Arts (WCOPA) Julai depan.
Penyanyi tersebut, menerusi pesanan WhatsApp memaklumkan penalti itu dikenakan sekiranya dia berhasrat untuk meneruskan keinginan untuk ke Amerika Syarikat (AS) bagi menyertai pertandingan tersebut.
“Saya tarik diri sebab tak ada penaja. Sudah lepas tarikh pendaftaran.
“Kalau mahu teruskan juga, kena bayar penalti sampai dapat bayar yuran penuh.
“Tak apalah. Tak ada rezeki,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ashira perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM30,000 untuk ke AS bagi menyertai pertandingan berkenaan.
WCOPA merupakan sebuah pertandingan antarabangsa berprestij yang sebelum ini pernah disertai vokalis negara ternama antaranya Deja Moss, Noryn Aziz, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin dan ramai lagi.