TUMPAT: ‘Kelibat’ DAP tidak diperlukan dalam sebarang gabungan atau pakatan parti politik yang mahu bekerjasama menumbangkan kerajaan Pas di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ini termasuklah gabungan politik yang disebut-sebut bakal digerakkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li bersama Pakatan Harapan (PH) Kelantan selepas Aidilfitri kelak.
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali ketika berkongsi pandangan itu berkata, dalam PRU14, ‘kelibat’ DAP menjadi antara punca PH ditolak rakyat Kelantan sehingga kalah teruk di negeri ini.
Buktinya kata Ibrahim, dalam pertembungan empat penjuru di Parlimen Pasir Mas, beliau yang bertanding sebagai calon Bebas pun masih mendapat undian ketiga tertinggi berbanding calon PH di kedudukan tercorot.
“Bukan saya nak tolak DAP kerana emosi, tetapi di Kelantan memang bukan tempat DAP. Dari segi strategi politik, DAP tidak boleh turut serta dalam pakatan ini, malah, mana-mana parti terkait dengan DAP pun akan turut ‘lebur’.
“Untuk jatuhkan kerajaan Pas di Kelantan, bagi saya, DAP tidak boleh dilihat ada kelibatnya,” kata beliau ketika ditemui dalam majlis berbuka puasa bersama pimpinan Putra negeri di Taman Mimi, Wakaf Bharu, di sini semalam.
Pimpinan PH
Ku Li dilaporkan telah bertemu pimpinan PH Kelantan baru-baru ini dan bersedia mengetuai satu gabungan dinamakan Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan untuk merampas negeri ini daripada Pas dalam PRU15.
Difahamkan, gabungan itu bakal disertai Parti Amanah Negara (Amanah), DAP, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) selain Putra sendiri serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Bagaimanapun, Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menegaskan pihaknya tidak berhasrat menyertai gabungan itu dan jika benar Ku Li terbabit, ia tindakan peribadi beliau tanpa melibatkan parti.
Mengulas perkara itu, Ibrahim mengakui wakil Putra turut serta dalam pertemuan tidak rasmi bersama Ku Li dan mengalu-alukan kerjasama itu tetapi aspek penting seperti teras, piagam serta hala tuju gabungan perlu dijelaskan dahulu.
Kata beliau, mahu meruntuhkan ‘rumah buruk’ yang sudah tidak boleh diduduki wajar, tetapi perlu juga diteliti apa pula bentuk dan acuan ‘rumah baharu’ kelak supaya tidak sampai menggadai masa depan Islam dan Melayu.
“Saya belum bertemu empat mata dengan Ku Li, begitu juga presiden parti lain, kena bertemu dulu termasuk PKR kerana setakat ini, PKR tidak pula disebut. DAP tak payahlah, tumpu di pantai barat, tak usah ganggu Kelantan.
“Kalau betul Ku Li ambil langkah ini untuk jatuhkan Pas demi rakyat Kelantan, saya kagum dengan beliau. Mungkin dia nak tarik UMNO sekali, tapi kalau gagal (tarik) bagaimana? Tak rok (cukup) kalau beliau seorang diri.
“Jadi masih banyak persoalan perlu dihuraikan, jangan hanya sekarang riuh-rendah bukan main lagi umpama terdengar bunyi guruh di langit, tetapi hujan tak tahu bila nak turun-turun, wallahu alam,” katanya.- UTUSAN