ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan melakukan siasatan terhadap kemungkinan wujud peranan kartel dalam industri padi di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, siasatan itu perlu dilakukan apabila purata hasil padi di Kedah masih rendah dan mencurigakan sejak sekian lama.
Menurutnya, beliau mendapati model tanaman padi yang diusahakan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di sawah seluas kira-kira 30 hektar mampu mengeluarkan hasil sebanyak 7.8 tan sehektar.
Namun katanya, purata hasil padi di negeri ini cuma enam tan sehektar sahaja selama ini walaupun subsidi baja dan racun sentiasa bertambah.
“Jadi timbul persoalan adakah rantaian industri padi di negeri ini berlaku ketidakjujuran dalam keadaan model baharu diterapkan LZNK boleh datangkan hasil sebanyak 7.8 tan. Kalau dibandingkan kita juga ketinggalan dengan Selangor yang hasilkan sembilan hingga 12 tan sehektar.
“Justeru kita akan pastikan supaya model diterapkan LZNK itu akan cabar sistem sedia ada yang diguna pakai selama ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, siasatan terhadap berkemungkinan wujud kartel dalam industri padi itu perlu dilakukan segera dan terperinci.
Ini kerana katanya, hasil padi di negeri ini seolah-olah ditetapkan enam tan sehektar untuk selama-lamanya.
“Apabila zakat buat sendiri, timbang sendiri dan jual di kilang sendiri, hasilnya mencecah 7.8 tan. Tetapi mengapa selama ini apabila petani jual di kilang yang sama dengan menggunakan broker yang sama, mesin sama, traktor sama dan terusan sama cuma dapat enam tan? Adakah betul hasil kita cuma enam tan atau alat penimbang kita rosak, atau dirosakkan? Ini perkara perkara perlu diberi perhatian. Kalau ada yang tersimpul di mana-mana, simpulan ini mesti dibuka dengan tegas,” katanya.
Beliau menegaskan, sekiranya wujud kartel yang mengganggu industri padi dan mengakibatkan hasilnya tidak meningkat, kartel itu mesti dihapuskan.
“Hanya dengan cara itu, barulah nasib petani berubah dan pengeluaran makanan akan meningkat. Saya nak semua orang jujur dalam hal ini kerana kejujuran sangat penting buat negara ini. Jangan kerana nak cari kekayaan, nasib petani ditentukan begitu. Saya akan pastikan perkara ini diperangi habis-habisan dan kalau benar wujud kartel, jangan bagi saya jumpa kerana kita akan berperang,” katanya. – UTUSAN