KOTA KINABALU: Tidak timbul persoalan kawalan parti nasional menjadi penghalang kepada pembangunan di Sabah dan Sarawak mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, hak rakyat Sabah akan tetap disuarakan mengikut saluran yang betul selari dengan MA63 biarpun diketuai oleh parti nasional.
Beliau menyifatkan kenyataan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sebagai satu pandangan peribadi.
Abdul Karim menyatakan kawalan parti bukan tempatan di Sabah menghalang kerjasama negeri di Malaysia Timur dalam menuntut hak di bawah MA63.
“Saya ingin menegaskan kenyataan Abdul Rahman hanya kenyataan peribadi yang tidak sepatutnya dilontarkan oleh seorang pemimpin kerana ia boleh menjejaskan hubungan baik antara kerajaan negeri dan Pusat.
“Malah, ia boleh merencatkan gagasan Perdana Menteri melalui konsep ‘Keluarga Malaysia’ untuk membawa pembangunan yang lebih seimbang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Timbalan Ketua Menteri itu berkata, beliau yakin Sabah akan membangun dengan pesat di bawah pentadbiran parti nasional.
Menurut beliau, parti nasional tidak akan mengekang pemimpin Sabah untuk terus menuntut hak pembangunan di negeri ini selaras dengan MA63.
Beliau berkata, menjadi kelebihan kepada pemimpin dari Sabah yang berada dalam parti nasional untuk berbincang secara langsung dengan pemimpin pusat mengenai tuntutan MA63. Itu akan membantu dalam kelangsungan pembangunan dan pembelaan rakyat di Sabah.
“Maka, tidak kira parti nasional atau parti tempatan, hala tujunya adalah sama iaitu memperjuangkan dan membela rakyat. Apa yang membezakannya adalah cara untuk mendapatkan bantuan dengan cara segera. Jadi, kita seharusnya selari dengan parti nasional yang memerintah,” katanya.
Bung Moktar, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, semasa Sabah sehaluan dengan pentabdiran pusat sebelum 2018, pembangunan di Sabah amat pesat. Tidak perlu memberontak atau membawa isu pembangunan ke mahkamah, tapi cukup dengan berbisik dengan pemimpin pusat, peruntukan akan diperoleh.
Jelas beliau, Sabah pernah diperintah oleh parti tempatan namun kesan pembangunan yang dilakukan masih kurang berkesan malah, masih ada keperluan untuk meminta peruntukan dari kerajaan Pusat yang diterajui oleh parti nasional.-UTUSAN