BUKAN mudah untuk berdepan dengan satu kehilangan.
Hanya mereka yang pernah melaluinya sahaja lebih tahu dan memahami beban sedih dan rindu yang ditanggung meski sekeliling meminta untuk berkata reda.
Buat vokalis kumpulan Caliph Buskers, itulah yang dirasakan. Tetapi, sebagai lelaki, mungkinlah dia lebih pandai menyembunyikan emosi yang bersarang.
Kalau hendak dibandingkan dengan apa yang dirasakan oleh si isteri, ia bahkan lebih lagi.
Hal itu diakui oleh Azmi. Kata penyanyi berusia 35 tahun ini, isterinya, Nazira Muhammad, 36, sehingga kini sukar melupakan perit kehilangan anak sulung mereka, Khairul Afnan, yang kesempatan hidupnya cuma di usia seminggu.
“Memang saya akui, susah untuk memujuk isteri meski di bibirnya mengatakan reda. Saya tahu, jauh di sudut hatinya, dia kecewa dan amat berharap apa terjadi ini cuma mimpi.
“Tapi kenyataan itu memang pahit. Tak perlu tunggu hari raya pun, sejak bayi kami itu meninggal dunia sembilan bulan lalu, dia memang akan selalu menziarahi kubur. Katanya, bagi mengubati rindu.
“Hal-hal seperti inilah yang saya perlu layan dan ikuti. Sebab saya tahu, dia seorang ibu, perasaannya lebih mendalam dengan apa yang terjadi,”katanya.
Kata Azmi, dia juga bimbang andai tersilap kata bila menyebut perihal anak kerana khuatir isteri akan tersinggung.
“Pernah saya beri cadangan untuk kami sama-sama jalani rawatan Intrauterine Insemination (IUI) atau kaedah rawatan kesuburan. Masa beritahu itu, memang saya teruja.
“Tapi tak sangka dia sedih. Dia masih kecewa. Sebab itu saya cakap, saya kena usaha pujuk dia. Tapi saya faham, hal macam ini biasanya mengambil masa . Ia tak akan mudah dilupakan,”katanya.
Mengaku jika Khairul Afnan masih hidup sehingga ke saat ini, kata Azmi, pasti Aidilfitri kali ini akan menjadi lebih bermakna sambil membayangkan betapa ceria keletah si anak yang bakal mengundang seri buat keluarga kecilnya.
Pun begitu, sejauh mana pun hasrat mereka untuk menghiasi keharmonian rumah tangga dengan adanya kehadiran seorang anak, Azmi bagaimanapun tidak terfikir lagi untuk mengambil anak angkat untuk dijaga.
Katanya, selagi ada peluang untuk mencuba, dia dan isteri enggan terlalu awal mengalah.
“Mungkin bukan pada masa sekarang. Saya pun pernah juga tanya isteri jika nak ambil anak angkat. Tapi dia kata belum bersedia.
“Dia nak cuba juga dapatkan zuriat sendiri. Kalau ambil anak angkat, kemudian dikurniakan zuriat sendiri, bimbang tak dapat bahagi kasih sayang dengan sempurna. Sementara ada peluang, baik kita cuba dulu.
“Saya ada tanya lagi baru-baru ini mengenai rawatan IUI itu, dia kata mungkin akan mempertimbangkannya selepas raya ini. Macam saya katakan tadi, dia masih takut andai kecewa lagi,” jelasnya.
Takut naik bas
Dalam pada itu, bercerita mengenai sambutan raya, kata Azmi, dia dan isteri tidak pernah menginginkan untuk menyambut lebaran dengan suasana keterlaluan. Bagi mereka, sederhana itu lebih baik.
Kata Azmi, tahun ini kedua-dua mereka akan pulang ke kampung halaman isterinya di Terengganu sebelum kemudiannya bergerak ke selatan tanah air untuk beraya di kampungnya di Johor.
“Tak ada apalah yang istimewa. Kami berdua ringkas sahaja, sederhana orangnya. Tapi kalau cakap pasal balik kampung, kami ini memang akan pulang dengan menaiki kapal terbang. Iyalah, nak memandu memang tak boleh.
“Pernah juga kami naik bas sebelum ini. Tapi susahnya Tuhan saja tahu. Lagi-lagi kalau bas mengalami masalah kena buat pertukaran bas lain di tengah perjalanan. Kami ini sudahlah tak nampak.
“Jadi, lebih baik naik kapal terbang saja. Bukan masa jadi artis saja saya buat begitu. Sebelum ini pun begitu. Sanggup kumpul duit demi nak balik kampung naik kapal terbang,” katanya.
Untuk pengetahuan, Azmi mendirikan rumah tangga dengan Nazira, seorang penjawat awam yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan pada 2011.
Setelah lama menanti, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang diberi nama Khairul Afnan pada 27 September lalu.
Bagaimanapun, selepas seminggu, permata hati mereka itu kemudiannya disahkan meninggal dunia.