KUALA LUMPUR: Dijangkiti Covid-19 ketika fasa awal kehamilan anak kedua, pelakon dan pengacara Jihan Muse tampil menceritakan pengalamannya berdepan wabak tersebut sekitar Januari tahun ini.
Kongsi Jihan atau nama sebenarnya Nuur Jihan Musa, dia terpaksa dimasukkan ke hospital gara-gara jangkitan virus berkenaan.
“Saya terkena jangkitan pada 30 Januari lalu. Sebelum itu, ketika mengendalikan konsert akhir Gegar Vaganza 2021, saya baru dapat tahu bahawa saya mengandung.
“Alhamdulillah, gejala saya alami tidaklah teruk. Tak ada demam, cuma batuk sahaja.
“Ketika itu kandungan saya baru berusia satu bulan lebih. Jadi saya terpaksa dimasukkan ke hospital selama 10 hari untuk pemantauan doktor,” katanya.
Jihan berkata demikian selepas majlis Anugerah Meletop Era (AME 2022) yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), dekat sini.
Dalam pada itu, ibu seorang anak itu turut menyatakan rasa syukur kerana sekali lagi diberi rezeki untuk hamil.
Namun katanya, masih terlalu awal untuk dia mengetahui jantina kandungannya itu. Justeru, buat masa ini, dia memilih untuk menjalani tempoh kehamilan tanpa mengetahui tentang perkara tersebut.
“Saya bersyukur dan sangat gembira. Sekian lama saya dan suami menunggu.
“Tapi kalau boleh, buat masa ini saya tak mahu tahu tentang jantina (bayi), biar bagi kejutan. Tak kisah jantina apa sekalipun.
“Seeloknya pada awal-awal ini, biarlah saya lalui dahulu kehamilan ini tanpa mengetahui jantinanya,” ujarnya. – UTUSAN