Gunung Jerai

JHEAIK siasat ritual amalan khurafat di Gunung Jerai 

TANGKAP layar daripada satu video menunjukkan seorang lelaki dipercayai amalan khurafat di puncak Gunung Jerai, Kedah. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) menyiasat satu ritual amalan khurafat dipercayai dilakukan di atas Gunung Jerai yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Menurut Pengarahnya, Datuk Mohd. Yusri Daud berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan perkara itu daripada orang ramai selepas video berdurasi seminit itu tular. 

Katanya, JHEAIK memandang berat dan menyiasat aduan tersebut mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014 atas kesalahan doktrin palsu dan menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam.

“Jika sabit kesalahan, Seksyen 4 memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

“Manakala Seksyen 7 Enakmen yang sama memperuntukkan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, pada masa yang sama, JHEAIK melalui Bahagian Penyelidikan akan terus mengadakan siri-siri penerangan di seluruh negeri berkaitan bahaya amalan khurafat kepada masyarakat.

“JHEAIK akan terus memberikan penerangan kepada masyarakat dan pada masa yang sama sentiasa memantau aktiviti-aktiviti keagamaan di seluruh negeri.

“Kita meminta agar masyarakat sentiasa peka dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang bercanggah dengan agama Islam untuk diambil tindakan,” katanya.

Selain itu, kata beliau, JHEAIK amat berharap golongan pendakwah dan asatizah di negeri ini menyampaikan ilmu berdasarkan fakta berpandukan sumber dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah.

“JHEAIK juga amat berharap masyarakat di seluruh negeri sentiasa berwaspada dan berhati-hati dalam menerima sebarang dakwaan berkaitan agama Islam.

Sejak beberapa hari lepas, tular satu video berdurasi seminit di TikTok memaparkan beberapa individu melakukan pelbagai ritual di puncak Gunung Jerai tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya