SEREMBAN: Jenazah pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini selamat dikebumikan pagi ini.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Batang Benar, Nilai di sini kira-kira pukul 9 pagi tadi.
Terdahulu jenazah Allahyarham tiba di tanah perkuburan itu pada pukul 8.05 pagi dari kediaman keluarga Allahyarham di Kampung Sungai Mahang, Nilai di sini.
Sebelum itu, solat jenazah juga diadakan sekali lagi di kediaman tersebut selepas tiba dari Masjid Raja Permaisuri Bainun, USAS, Kuala Kangsar kira-kira pukul 3.30 pagi tadi.
Dalam pada itu, suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan terbabit dengan upacara pengebumian dihadiri kira-kira 100 orang penduduk termasuk ahli keluarga dan rakan-rakan Allahyarham.
Allahyarham yang tinggal di Selayang, Selangor dikebumikan di sini yang merupakan kampung halaman bapanya, iaitu Muhammad Fariz Amat Jusak, 49.
Ketika ditemui pemberita, Muhammad Fariz berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam pengurusan jenazah Allahyarham anaknya itu sehingga selamat dikebumikan hari ini.
“Saya berbanyak terima kasih terutama kepada pihak universiti yang banyak membantu juga kepada semua yang mendoakan anak saya dan mangsa-mangsa yang lain, saya harap Allah sahaja yang dapat membalas budi baik dan jasa mereka semua, ” katanya.
Allahyarham yang merupakan anak sulung, meninggalkan ibunya, Siti Norazah Bahari, 42, dan dua orang adik iaitu, Muhammad Nabil Hairish, 14 dan Nurain Qaisara, 10.
Dalam kejadian tengah malam 12 Mei lalu, Muhammad Nabil Haikal yang duduk di bahagian penumpang belakang rentung bersama empat rakan selepas kereta jenis Honda City dinaiki terbakar selepas terlibat kemalangan membabitkan dua treler membawa muatan mozek dan besi pagar.
Selain Allahyarham, mangsa lain terlibat, Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Iqbal Hasnun Halimi, 23 dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.
Dalam kejadian tersebut, pemandu treler berusia 28 dan 37 tahun tidak cedera. – UTUSAN