KUALA LUMPUR: Penyanyi dan usahawan, Datuk Fazley Yaakob tampil menegur netizen bermulut lancang yang tidak menjaga adab ketika menulis komen di media sosial.
Penyanyi lagu Asmara Ini itu tampil membuat pendedahan di akaun Instagramnya (IG) dengan memuat naik tangkap layar mengenai seorang netizen yang melayangkan komen secara melulu dan tidak menjaga hati dan perasaan pengguna media sosial lain.
“Kadang-kadang, tak faham jenis manusia yang merasakan mereka ada hak untuk memberi komen sinis sebegini. Jangn risau, saya tetap maafkan.
“Cuma, kali ini saya cuba membalas dengan cara kasar dan kurang adab pulak. Nak tengok apa reaksi empunya diri.
“Selalunya saya padam dan sekat terus. Kali ini saya bagi peluang orang lain baca juga,” ujarnya.
Dalam coretan panjang lebar, Fazley turut meluahkan rasa kecewa dengan nasib selebriti yang sering dipersalahkan dan dipandang serong.
“Hebat betul orang-orang yang komen ini. Seolah-olah mereka manusia paling sempurna dan selebriti penuh dengan kesilapan yang langsung tak boleh dimaafkan.
“Buat mereka yang terkena komen-komen begini, terus padam dan sekat. Tak luak pun. Kalau kongsikan terus macam saya ini pun lagi bagus.
“Supaya mereka ini mendapat kasih sayang dan perhatian yang sangat mereka dahagakan. Salam Aidilfitri semua! Maaf Zahir Batin!,” katanya.
Menjengah ruangan komen, majoriti kalangan artis bersetuju dengan tindakan Fazley dan rata-rata berkongsi pengalaman yang sama.