PETALING JAYA: Malaysia diramal mengalami kenaikan jangkitan positif Covid-19 selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri yang menyaksikan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) termasuk dibenarkan bersalaman dan program ziarah.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, pakar kesihatan awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, masih ada risiko serius buat masyarakat yang tidak mengambil vaksin dan mengamalkan SOP terbaharu ketika sambutan Aidilfitri.
Katanya, golongan rentan terutama warga emas perlu diberi perhatian kerana turut menyambut perayaan bersama ahli keluarga yang dijangka terdedah dengan Covid-19 sebelum pulang ke kampung.
“Masih ada risiko penyakit menjadi serius apabila berhadapan dengan varian baharu. Jangkaan tentang peningkatan kes pasti berlaku selepas sambutan Aidilfitri, tetapi yang pastinya angka pesakit tidak begitu serius dan masih boleh ditampung hospital.
“Aidilfitri ini saya lihat masyarakat mempunyai kesedaran dan pematuhan SOP yang sesuai ikut keadaan masa dan tempat,” katanya.
Sementara itu, pakar kesihatan, Prof. Malina Osman berkata, penularan virus varian baharu yang berlaku di Afrika adalah disebabkan kadar vaksinnya yang rendah berbanding negara Malaysia.
“Risiko jangkitan sangat rendah dan masyarakat perlu meneruskan langkah semasa seperti yang dilaksanakan sekarang. Di Afrika, kadar vaksin mereka rendah, ada negara yang tidak mampu menyediakan kemudahan vaksin seperti yang disyorkan.
“Negara kita melalui polisi Kementerian Kesihatan sentiasa memantau situasi negara, jiran terdekat, pola jangkitan penyakit-penyakit lain serta sentiasa merujuk nasihat yang disyorkan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) bagi memastikan situasi kesihatan sentiasa di bawah kawalan,” katanya.
Tambahnya, mutasi daripada varian Covid-19 yang muncul menimbulkan satu cabaran yang baharu buat masyarakat menghadapinya sekali gus mewujudkan norma baharu dalam kelompok masyarakat.
“Masyarakat perlu meneruskan komitmen menjaga SOP dan melaksanakan langkah pencegahan. Disebabkan kesan mutasi sentiasa berlaku, kita tidak pasti dalam tempoh beberapa bulan akan datang kemungkinan berlakunya gelombang baharu dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN