Jangan upah kontraktor asing walau harga murah

Jangan upah kontraktor asing walau harga murah

KERATAN laporan-laporan Utusan Malaysia berhubung isu sektor pembinaan dan perusahaan di negara ini semakin dikuasai warga asing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Orang ramai yang merancang mengubah suai rumah atau melakukan projek-projek binaan diminta mendapatkan khidmat kontraktor tempatan termasuk konsultan dan jurutera.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah Bumiputera Selangor, Mohammad Sahar Mat Din berkata, hal itu dianggap lebih baik daripada pelanggan terus bergantung dengan khidmat pekerja warga asing tidak bertauliah.

Katanya, walaupun kontraktor asing menjadi pilihan berbanding kontraktor tempatan kerana kos upah yang lebih rendah, warga asing bagaimanapun tidak ditauliahkan sebarang lesen atau sijil perakuan daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

“Inilah masalahnya apabila orang kita sendiri mahu membaik pulih rumah, mereka lantik terus pekerja asing buat ubah suai sendiri. Sepatutnya, kita kena didik orang ramai melantik syarikat tempatan walaupun pekerja-pekerjanya adalah warga asing.

“Jika melantik secara terus warga asing sebagai ‘kontraktor jadian’, saya bimbang masalah akan berlaku seperti kerosakan pada binaan tersebut kerana tidak mengikuti spesifikasi ditetapkan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Akhbar ini kelmarin melaporkan, sektor pembinaan dan perusahaan di negara ini semakin dikuasai warga asing yang dilihat mula mengancam ‘periuk nasi’ kontraktor tempatan khususnya bumiputera.

Rentetan itu, Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) menggesa kerajaan supaya melakukan siasatan terhadap kontraktor yang melakukan kerja-kerja ubah suai dan pembinaan jika tidak mendapat kelulusan untuk beroperasi selain melakukan pemutihan jika enggan bekerja dengan kontraktor tempatan.

Pada April lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dilaporkan berkata, Malaysia dijangka menerima kemasukan 500,000 pekerja asing dari Bangladesh secara berperingkat, menyaksikan 475,678 permohonan pekerja warga asing diterima dan 43,519 membabitkan permohonan bekerja di sektor pembinaan.

Ditanya mengapa pekerja asing memilih menjalankan perkhidmatan sendiri tanpa bernaung di bawah mana-mana syarikat kontraktor berdaftar, Mohammad Sahar berkata, ia mungkin kerana pengalaman diperoleh semasa bekerja dengan majikan terdahulu.

Justeru, beliau berpendapat, melalui pengalaman yang diperoleh mendorong mereka mencari peluang yang lebih menjana pendapatan dengan bekerja secara bersendirian.

“Sebab mereka sudah nampak ada peluang untuk mencari pendapatan sendiri jadi mereka buatlah khidmat-khidmat pembinaan. Mereka sudah tahu beli barang binaan di mana, pekerja-pekerja ada dalam ‘circle’ mereka sendiri malah boleh mencari klien sendiri. Tetapi ini tidak bermakna mereka boleh buat suka hari kerana mesti mendapat kelulusan pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan berkata, tidak menghairankan apabila semakin ramai warga asing menceburi bidang berkenaan memandangkan rakyat Malaysia sendiri tidak sanggup melakukan kerja-kerja berat dan lasak.

“Tiada pekerja tempatan yang mahu buat kerja ini sebab industri binaan kotor dan panas manakala rakyat kita pula mahu kerja yang selesa. Kesannya, terimalah lebih ramai lagi pekerja asing dalam negara sehingga perniagaan mereka lebih maju daripada kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya