PETALING JAYA: Umat Islam khususnya pihak berkuasa agama tidak boleh mengambil mudah soal halal dan haram apatah lagi sumber makanan yang bersumberkan rujukan al-Quran serta hadis sebagai panduan kehidupan bersyariat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, justeru haiwan ternakan yang disembelih wajib dipastikan mengikut hukum syarak dan bukannya sembrono dalam soal halal haram sehingga menjadi sumber makanan umat Islam.
Beliau berkata, haiwan ternakan yang disembelih perlu dipastikan mengikut hukum syarak dan bukannya mematikannya terlebih dahulu sebelum disembelih.
“Kalau benar dakwaan itu bahawa haiwan dilemaskan sebelum disembelih, maka hukumnya haram. Perkara ini perlu berdasarkan keadaan akhir dialami haiwan tersebut, sama ada lemas atau hidup. Jika disembelih masih hidup, hukum halal.
“Hukum halal dan haram ini adalah soal antara manusia dengan Allah, tetapi sebagai ulama dan pihak berautoriti perlulah dipastikan segala sembelihan mengikut hukum syarak. Soal halal haram bukan sahaja makanan malah aspek lain yang menyentuh aspek kehidupan seharian,” katanya.
Kelmarin, Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA) mengesahkan rumah sembelihan Thomas Food Industries (TFI) di Australia melanggar protokol halal dalam proses penyembelihan seperti didedahkan Utusan Malaysia.
Bertanggungjawab
SICHMA selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas
loji sembelihan mengesahkan perkara itu selepas badan tersebut menjalankan audit mengejut ke atas TFI pada 23 Mei lalu.
TFI turut membekalkan daging kambing ke Malaysia.
Dalam pada itu, Mohamad Shukri menggesa umat Islam yang ragu-ragu terhadap status daging tersebut agar tidak memakannya dengan mengambil kira hukum syubhah sehingga dipastikan bahan itu halal atau sebaliknya.
Katanya, tidak menjadi kesalahan bagi umat Islam yang pernah mengambil daging terlibat sebelum dimaklumkan status tidak halal.
“Jika ragu-ragu sama ada halal atau tidak, adalah lebih tinggalkan dengan segera, ini panduan agama Islam dalam menentukan perkara syubhah.
“Bagaimanapun saya menegaskan pihak berkuasa tidak ambil mudah dalam soal ini kerana melibatkan hukum syarak, apatah lagi dijamah oleh manusia setiap hari,” katanya.- UTUSAN