PULAU PINANG : “Kes terjun jambatan dilaporkan semakin meningkat dan data yang dikemas kini pada 24 Mei lalu adalah yang tertinggi sejak Januari lalu berbanding 14 kes direkodkan sepanjang tahun 2021.
“Mengikut data, kekerapan kes terjun dari Jambatan Pulau Pinang berlaku di Kilometer 4.0 arah pulau menghala ke Seberang Perai,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kata beliau, statistik bagi tahun ini juga menunjukkan kes bunuh diri dari Jambatan Pulau Pinang adalah paling tinggi berbanding kes terjun dari bangunan perumahan atau komersial di negeri ini.
“Kemungkinan jambatan sepanjang 13.5 kilometer ini menjadi destinasi pilihan untuk bunuh diri disebabkan lokasinya yang mudah diakses dan keberangkalian untuk mati akibat lemas dibawa arus adalah tinggi.
“Status keberangkalian mangsa ditemui mati atau selamat dan kurang risiko kecederaan jika selamat. Bagaimanapun setakat ini, majoriti mangsa terjun jambatan ditemui mati,” ujarnya.
Untuk rekod, seramai sembilan mangsa ditemukan mati lemas manakala enam lagi berjaya diselamatkan nelayan pantai dan pasukan penyelamat selepas terjun dari jambatan tahun ini.
Saadon berkata, pihaknya akan memastikan pasukan JBPM tiba di lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan dalam tempoh 10 hingga 15 minit.
“Mayat mangsa kebiasaannya ditemukan terapung berdekatan perairan Pulau Jerjak dan juga perairan sebelah Persiaran Gurney yang dibawa arus mengikut aliran air pasang atau surut.
“Selalunya, operasi mencari dan menyelamat dilakukan dengan kaedah carian permukaan (water surface searching) dengan menggunakan aset bot bersama agensi-agensi penyelamat lain,” katanya yang menambah, operasi menyelamat akan mengambil masa maksimum selama tiga hari.
Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed turut menyokong bahawa semakin ramai individu bermasalah akan menggunakan jambatan satu sebagai lokasi bunuh diri.
Kata beliau, pihaknya yang terlibat dalam operasi carilamat mangsa menerima sebanyak tujuh kes perbuatan itu sepanjang bulan ini.
Jelas beliau, situasi itu merupakan satu perkembangan atau trend terkini yang tidak sihat dan amat membimbangkan.
“Maritim Malaysia berpendapat perlu ada satu tindakan drastik dari pelbagai pihak sama ada dari kerajaan negeri atau Persekutuan mahupun badan-badan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menangani kejadian seumpama ini dari terus berlaku,” katanya.
Tambah beliau, orang awam juga diminta melaporkan penemuan dan melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.
Dalam kejadian pada pukul 2.40 petang, Ahad lalu, seorang wanita berusia 27 tahun terjun di Kilometer (KM) 7.4 jambatan itu dari arah pulau menghala ke Perai.
Pulau Pinang cari mekanisme kurangkan kes bunuh diri
Sementara itu, Kerajaan negeri Pulau Pinang sedang bekerjasama dengan pakar serta agensi berkaitan untuk mencari mekanisme membantu mereka yang mengalami masalah dalam kehidupan supaya tidak menjadikan Jambatan Pulau Pinang sebagai tempat membunuh diri.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, usaha itu digerakkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh yang turut membincangkan perkara itu bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta profesional dalam bidang perubatan di negeri ini.
‘’Kes semakin meningkat dan kita tidak mahu trend ini berterusan.
‘’Mungkin dengan cara tidak melaporkan kes-kes sebegini di media sosial adalah lebih baik kerana mungkin dapat membantu mengurangkan kes atau keinginan untuk membunuh diri di jambatan.
‘’Kita tidak boleh dilihat menggalakkan orang yang mempunyai masalah untuk menjadikan bunuh diri di jambatan sebagai jalan penyelesaian,’’ katanya selepas menghadiri majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri di Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), di sini hari ini.
Difahamkan, sepanjang bulan ini sahaja direkodkan sudah berlaku lapan kejadian terjun dan cubaan terjun dilaporkan di jambatan tersebut atau sebanyak 12 kes sepanjang tahun ini.
Terbaharu, dalam tempoh kurang 24 jam kelmarin, dua kejadian terjun membabitkan dua wanita dengan salah seorang berjaya diselamatkan nelayan tempatan manakala seorang lagi belum ditemui.
Dalam kejadian kelmarin, seorang wanita berusia 27 tahun terjun di Kilometer (KM) 7.4 jambatan itu dari arah pulau menghala ke Perai kira-kira pukul 2.40 petang.
Kurang 12 jam kemudian iaitu pada pukul 3 pagi semalam pula, seorang lagi wanita berusia 22 tahun terjun di KM 8 jambatan itu selepas meninggalkan kereta jenis Perodua Axia dan barangan peribadinya di atas jambatan.
Pada Sabtu lalu, seorang wanita berusia 43 tahun cuba terjun di KM 3.4 jambatan itu dalam kejadian kira-kira pukul 3.35 petang dengan video kejadian itu tular di media sosial.
Wanita berkenaan berjaya diselamatkan seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang tidak bertugas kebetulan berada di lokasi kejadian. –UTUSAN
STATISTIK KES TERJUN JAMBATAN PULAU PINANG 2022
Tarikh Status mangsa Lokasi
3/1 Lelaki (mati) tidak pasti
13/1 Lelaki (mati) KM3.4 (SP-P)
13/2 Perempuan KM3.4 (SP-P)
(Selamat)
24/2 Lelaki (mati) KM5.2 (P-SP)
20/3 Lelaki (mati) KM4.0 (P-SP)
30/3 Perempuan (SP-P)
(selamat)
29/4 Perempuan KM2.8 (PP-SP) (mati)
1/5 (mati)
Lelaki (selamat) KM1.1
5/5 Lelaki (mati) KM4.2 (SP-P)
10/5 Lelaki (mati) KM4.0 (P-SP)
12/5 Perempuan KM6.5 (P-SP)
Selamat)
16/5 Lelaki (mati) KM4.0 (P-SP)
21/5 Perempuan Tidak pasti
(selamat)
23/5 Perempuan Tidak pasti
(selamat)
24/5 Perempuan KM8.0 (P-SP)
(mati)
*P – Pulau
SP – Seberang Perai – UTUSAN