Isu peletakan jawatan KM, Sulaiman akhirnya buka mulut - Utusan Malaysia

Isu peletakan jawatan KM, Sulaiman akhirnya buka mulut

SULAIMAN MD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Setelah hampir seminggu kerajaan negeri dilanda spekulasi pemaksaan peletakan jawatan Ketua Menteri Melaka Ke-13, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali akhirnya bersuara menjernihkan keadaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu hari ini dalam kenyataan khas dari Sarajevo, Bosnia and Herzegovina berkata, beliau ketika ini masih menjawat posisi Ketua Menteri, serta akan terus berkhidmat dengan sehabis baik, sedaya upaya selagi mana dikehendaki pucuk pimpinan.

Beliau menafikan telah meletak jawatan dan menegaskan ia adalah dakwaan yang berniat untuk mengganggu-gugat kestabilan kerajaan negeri yang diterajuinya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Ketika ini saya berada di Sarajevo, Bosnia and Herzegovina, mengetuai misi pelaburan negeri dan menghadiri Sarajevo Business Forum 2022. Turut hadir bersama-sama dengan saya ialah Pengerusi Jawatankuasa Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

“Misi ini adalah untuk melihat peluang-peluang pelaburan di sini serta untuk menarik pelaburan asing ke Melaka. Pada masa yang sama, saya terus memberikan perhatian dan mengikut rapat perkembangan yang berlaku di Melaka, baik dari segi pentadbiran kerajaan negeri mahupun perkembangan politik tanah air.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya masih Ketua Menteri Melaka dan akan terus berkhidmat dengan sehabis baik dan sedaya upaya, selagi mana dikehendaki oleh pucuk pimpinan. Saya menafikan dakwaan bahawa saya telah meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka. Ini adalah dakwaan yang berniat untuk mengganggu-gugat kestabilan kerajaan negeri yang saya terajui selepas PRN Melaka,” katanya.

Spekulasi peletakan jawatan itu mula kecoh Ahad lalu, apabila Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad memaklumkan, khabar angin yang mendakwa Sulaiman dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan dalam masa terdekat, dianggap sengaja diadakan pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, lima ketua bahagian di negeri ini sebulat suara mempertahankan Sulaiman terus kekal memegang jawatan tersebut sehingga habis penggal.

Ia kemudian disusuli dengan kenyataan beberapa lagi pemimpin negeri ini antaranya Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Terbaharu, Utusan Online melaporkan, UMNO Bahagian Alor Gajah mencadangkan Sulaiman segera dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, menggantikan Ab. Rauf.

Pemangku Ketua Bahagian, Datuk Rospandi Leman berkata, keputusan tersebut diputuskan sebulat suara dan mendapat sokongan penuh ketika Mesyuarat UMNO Bahagian, semalam.

Dalam pada itu, tambah Sulaiman, isu sedemikian tidak sepatutnya timbul terutama ketika UMNO dan BN negeri sedang fokus memperkukuhkan usaha dan tenaga merampas kembali kerusi Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH).

“Keterbukaan saya mendengar pandangan ahli-ahli politik negeri Melaka bukanlah suatu kelemahan, sebaliknya ia adalah kekuatan bagi menghasilkan keputusan yang terbaik,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya