ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor diselar kerana meletakkan kesilapan di bahu kerajaan negeri terdahulu yang diterajui Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir ekoran masalah bekalan air yang berterusan di negeri ini.
Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Kedah menerusi kenyataan dimuat naik dalam Facebook parti itu hari ini berkata, kenyataan Muhammad Sanusi itu tidak tepat, tanpa fakta, mengelirukan dan berniat buruk terhadap pimpinan Mukhriz.
“Menteri Besar dalam kenyataannya berkata masalah bekalan air bersih Kedah berpunca daripada perubahan dasar terdahulu iaitu semasa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui oleh Datuk Seri Mukhriz selaku mantan Menteri Besar dari Mei 2018 hingga Mei 2020.
“Fakta yang sebenar adalah sejak PH memerintah Kedah pada Mei 2018, Kerajaan Kedah pimpinan Datuk Seri Mukhriz berunding dengan Kerajaan Pusat dan berjaya mendapat kelulusan untuk naik taraf lima loji rawatan air (LRA) bernilai RM931 juta,” kata kenyataan itu.
Kata kenyataan itu, susulan itu taklimat naik taraf LRA serta lawatan tapak oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada 50 lebih syarikat kontraktor air diadakan di Bilik Gerakan JKR Kuala Muda pada Februari 2020.
“JKR Kedah keluar tender pada Mac 2020 dan tender ditutup pada Mei 2020.
“Bulan Mei 2020 berlaku pengkhianatan keji oleh pelompat katak Kedah di mana empat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Bersatu dan dua ADUN PKR melompat parti meninggalkan Kerajaan PH Plus Kedah. Maka tumbanglah Kerajaan PH Plus Kedah dan ia diambil alih oleh kerajaan tebuk atap yang diketuai Pas bersama UMNO dan Bersatu,” katanya.
Naik taraf LRA
Lantaran itu, tambah kenyataan itu, semua tender naik taraf LRA ditangguh hingga Jun 2021 sebelum dianugerah pada kontraktor tertentu.
“LRA Bukit Selambau dan LRA Sg Limau Baling diberi pada Syarikat WIDAD. Sehingga hari ini perkembangan kerja kerja naik taraf LRA amat perlahan. Yang jelas adalah papan tanda serta pagar zink berwarna biru yang mengepung sekitar kawasan LRA.
“Alasan kerja kerja naik taraf tertangguh adalah kos bahan binaan melambung naik dengan begitu tinggi dan kontraktor mengeluh,” ujarnya.
Jelasnya, dengan penangguhan tersebut sukar bagi projek berkenaan untuk disiapkan pada 2023.
“Pada papan tanda ada tertulis dengan jelas iaitu projek akan siap pada tahun 2023 adalah amat mustahil untuk kontraktor menyiapkan projek naik taraf ini pada 2023.
“Menteri Besar mohon turun padang dan jengok sendiri keadaan sebenar yang berlaku pada tapak pembinaan dan jangan dok banyak temberang,” katanya.
Semalam Muhammad Sanusi berkata perubahan pimpinan dalam kerajaan negeri sebelum ini yang mengubah dasar yang menyebabkan pelan menaik taraf lima LRA berkenaan tertangguh. – UTUSAN