MELAKA: Pemimpin UMNO negeri ini yang terlibat memaksa Datuk Seri Sulaiman Md. Ali menandatangani dokumen peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13, dicabar mengangkat sumpah laknat untuk membuktikan mereka tidak berbuat demikian.
Cabaran itu disuarakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.
Katanya, jika benar individu terlibat jujur dan berprinsip, mengapa tidak menafikan dakwaan tersebut dengan cara sumpah laknat seperti mana dilakukan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Kalau Najib berani menafikan sesuatu perkara itu dengan membuat sumpah laknat, mengapa individu tertentu yang dikaitkan dengan isu Sulaiman tak boleh buat? Malah saya sendiri bersedia sumpah laknat kerana ada yang mengaitkan dan menuduh saya mencipta fitnah ini demi populariti diri saya.
“Orang politik boleh cakap macam-macam dan boleh menafikan itu dan ini, tetapi jika benar mereka jujur dan berprinsip, jika ingin menafikan perkara ini, buatlah sumpah laknat,” katanya menerusi program ‘Diskusi, Tiada Istilah Ketua Menteri Sementara’ secara dalam talian di sini hari ini.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Abd. Rahman dan pemangku Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, lima ketua bahagian di negeri ini sebulat suara mempertahankan Sulaiman terus kekal memegang jawatan tersebut sehingga habis penggal.
Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali berkata, pihaknya berpegang teguh kepada keputusan pucuk pimpinan parti melantik Sulaiman iaitu janji yang dilafazkan jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Sementara itu, Rospandi menegaskan, pihak-pihak tertentu dinasihatkan tidak lagi menimbulkan spekulasi mencabar Sulaiman supaya melepaskan jawatannya.
“Kalau tiada angin tiada pokok bergoyang, berhenti kalau ada niat yang tidak baik. Jangan kita rakus kerana Allah beri rezeki dan nikmat serta kekayaan sebenarnya hendak menduga kita,” katanya. – UTUSAN