PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menegaskan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. (Jakim) tidak terlibat isu pengimportan ayam.
Sebaliknya beliau berkata, urusan berkenaan sebenarnya di bawah bidang kuasa pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) berbanding Jakim dalam isu pentauliahan sijil halal.
“Kami hanya beri protokol standard halal untuk dapat pensijilan sah, tetapi masalah import yang kononnya susah dibawa masuk pula bukan melibatkan bahagian Jakim,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Wilayah Persekutuan 2022 di Kompleks Islam Putrajaya, di sini hari ini.
Baru-baru ini, Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, Datuk Ameer Ali Mydin dilaporkan kesal kerana pihak Jakim gagal membantu dalam usaha pengimportan ayam murah dari Brazil.
Langkah jangka pendek itu didakwanya mampu menangani isu kekurangan bekalan unggas tersebut di pasaran susulan pemansuhan permit kebenaran (AP) import ayam dari luar negara.
Mengulas lanjut, Idris menyangkal dakwaan tersebut kerana pihak Jakim selama ini sudah memperakui pensijilan halal yang dikeluarkan oleh dua badan bertauliah Islam di Brazil sendiri.
“Jika diikut piawaian, ia boleh dapat kelulusan dalam masa paling maksimum 30 hari dan selalunya mereka sudah pun terima pentauliahan halal selepas 16 hari,” katanya.
Dalam nada berjenaka, beliau berkata, setakat ini pihak Jakim belum berhasrat ‘membolot’ habis semua tugas dilakukan oleh pelbagai agensi lain dalam isu ayam atau daging lembu.
Bahkan dalam beberapa perkara, beliau tidak mahu melihat Jakim ‘melangkaui’ bidang kuasa pihak lain, namun sedia bekerjasama dengan membentuk penyelarasan dari segi aliran kerja.
Pada masa sama, beliau memberi jaminan bahawa Jakim tidak pernah berkompromi dalam isu halal termasuk ‘dakwaan nakal’ segelintir pihak kononnya kena ada ‘duit kopi’ untuk lulus.
“Setakat ini, kita memang tegas ikut peraturan ditetapkan dan tohmahan pihak tertentu konon kena ada rasuah untuk melicinkan kerja dapat sijil halal adalah tidak berasas,” jelasnya lagi.- UTUSAN