KUALA KANGSAR: Identiti tiga lagi mayat pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang maut dalam kemalangan semalam telah disahkan hari ini melalui rekod pergigian.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, identiti ketiga-tiga mayat disahkan berdasarkan perbandingan dengan rekod pergigian dari klinik dan institut pergigian yang lain.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/WhatsApp-Image-2022-05-13-at-8.31.25-PM-600x478.jpeg)
Menurutnya, mayat yang disahkan identitinya ialah pemandu kereta, Muhammad Nasrun Aidol Munir Akhbar, 22, dari Kuala Kubu Bharu, Selangor; penumpang belakang bahagian kanan, Iqbal Hasnun Halimi, 23, dari Senai, Johor dan penumpang belakang bahagian tengah, Muhamad Nabil Haikal Muhamad Fariz, 19, dari Batu Caves, Selangor.
“Mayat akan diserahkan kepada waris selepas selesai proses pengecaman oleh ahli keluarga sebentar lagi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Difahamkan ketiga-tiga jenazah akan dibawa ke Masjid Raja Permaisuri Bainun, USAS di sini untuk disembahyangkan sebelum dibawa pulang ke kampung masing-masing untuk pengebumian.
Sebelum ini, mayat tiga berkenaan dihantar ke Hospital Taiping untuk proses bedah siasat pada awal pagi tadi.
Dua lagi jenazah, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, dari Terengganu dan Ahmad Akmal Mohd. Mokhlis, 20, dari Parit Buntar sudah dituntut keluarga masing-masing selepas selesai bedah siasat dan disahkan identiti malam semalam.
Lima pelajar USAS itu rentung setelah kereta jenis Honda City dinaiki mereka terbakar selepas terlibat kemalangan dengan dua lori treler di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini awal pagi semalam. – UTUSAN