Hukuman penjara ke atas bekas suami Ziana Zain digugur - Utusan Malaysia

Hukuman penjara ke atas bekas suami Ziana Zain digugur

ARMIN Zaharin Ahmad Zambri terlepas hukuman penjara lapan bulan selepas Mahkamah Tinggi membenarkan rayuannya terhadap hukuman tersebut di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini menggugurkan hukuman penjara lapan bulan yang dikenakan terhadap bekas suami penyanyi popular Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri.

Hakim Hasbullah Adam membenarkan rayuan Ahmad Zaharin terhadap hukuman bagi kesalahan menyebabkan kecederaan terhadap anak lelakinya berusia sembilan tahun.

Namun, beliau menolak rayuan terhadap sabitan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan menjatuhkan hukuman denda RM8,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar.

Dalam masa sama, wang jaminan yang dikenakan ke atasnya sebanyak RM8,000 dikembalikan.

“Saya harap ini menjadi satu pengajaran kepada kamu, tolong kawal diri sebab hubungan bapa kepada anak. Anak tetap anak, sampai mati pun tetap anak, jangan putus hubungan,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, dia didakwa memukul anaknya menggunakan sebatang rotan dekat sebuah rumah di Denai Alam, di sini antara pukul 8 malam dan 10.30 malam pada 24 Februari 2018.

Sebelum kejadian, Armin Zaharin meminta mangsa untuk membaca surah al-Ikhlas secara spontan bagi menguji hafalannya.

Namun mangsa sukar untuk membaca menyebabkan perayu  menampar pipi anaknya itu  sebelum merotan tangannya menggunakan  rotan.

Laporan

Perbuatan tersebut kemudian diketahui Ziana Zain menyebabkan artis itu  membuat laporan di Balai Polis Bukit Jelutong pada 27 Februari 2018.

Armin Zaharin kemudian ditangkap  kerana memukul anak mereka yang merupakan orang kurang upaya kerana menghidap gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD).

Peguam Amir Farid Mohd. Nawawi mewakili Armin Zaharin dalam prosiding tersebut menerusi hujahan bertulis memberitahu, pihaknya membuat rayuan berdasarkan hubungan antara mangsa dengan perayu sebagai anak dan bapa.

“Sekiranya betul anak guam saya bersalah kerana merotan anaknya, namun lapan bulan penjara adalah tidak munasabah bagi seorang bapa yang mengajar anaknya mengaji,” ujarnya dalam kes dikendalikan  Timbalan Pendakwa Raya, Shukor Abu Bakar.

Terdahulu, Armin Zaharin, 57, memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi pada 4 Januari 2021 selepas Majistret Sabreena Bakar @ Bahari menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadapnya pada 28 September 2020 apabila dia didapati bersalah  dengan sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam di bahagian tangan anaknya itu.

Ziana, 53, atau nama sebenarnya Siti Roziana Zin yang popular dengan lagu Madah Berhelah, sah bercerai dengan talak satu dengan Armin Zaharin di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018 selepas mendirikan rumah tangga selama 20 tahun sejak Mei 1998.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya