IPOH: Masalah rasuah dan salah guna kuasa yang semakin membimbangkan di negara ini berpunca daripada akibat terhakisnya sifat malu dalam kalangan umat Islam melakukan kemungkaran tersebut.
Menurut teks khutbah Jumaat yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) hari ini, punca lahirnya salah guna kuasa, rasuah dan pengkhianatan dalam kalangan masyarakat, sebenarnya adalah kesan daripada hilangnya perasaan malu mereka yang terlibat.
Dalam khutbah bertajuk ‘Sifat malu lambang ketakwaan dan integriti pekerja mukmin’ itu, umat Islam hari ini sudah semakin kurang memiliki sifat malu sehingga tergamak melakukan pelbagai kemungkaran dan berlaku dalam pelbagai bidang tugas serta pekerjaan merangkumi sebahagian agamawan, ahli politik, penjawat awam dan pekerja swasta.
“Tanpa segan silu dan jauh daripada rasa berdosa, segelintir umat Islam bersifat tamak, berperangai rakus, sanggup menipu dan berbohong semata-mata untuk merebut kekayaan dan mencari pengaruh, serta mengamalkan sifat-sifat mementingkan diri sendiri.
“Hari ini, kegiatan seperti tuntutan palsu, duit kopi, angpau, upah, sagu hati, komisen, ‘kawtim’ bukan lagi rahsia, tetapi amat membimbangkan, telah menjadi sebahagian budaya berurusan dan berurus niaga di negara ini. Sedarlah, jika keadaan ini dibiarkan berlarutan, bererti Malaysia sedang menuju ke zaman gelap,” jelas teks tersebut.
Teks itu menjelaskan, akibat daripada kehilangan perasaan malu, budaya rasuah dan salah guna kuasa mahu dijadikan kebiasaan dalam dunia pekerjaan dan kehidupan harian.
Jelas teks itu, jika dahulu rasuah dan salah guna kuasa merupakan perbuatan yang sangat keji dan jijik, kini perbuatan tersebut dan salah guna kuasa, dilaporkan semakin berlaku dan merebak.
Malah, teks itu menyuarakan kebimbangan rasuah kelihatan dilakukan secara lebih berani dan terang-terangan melalui sindiket dan perancangan yang tersusun.
“Perasuah kini licik untuk melepaskan diri daripada tindakan undang-undang. Hal ini dilakukan melalui kelompangan dan kelemahan sistem kawalan sedia ada, serta kerana kurang ketegasan, begitu juga keberanian, serta tanggapan, berlakunya pilih kasih ketika menguatkuasakan undang-undang untuk mencegah rasuah dan mendakwa serta menghukum mereka yang melakukan rasuah.
“Akibatnya, perbuatan rasuah dan salah guna kuasa terlepas daripada hukuman duniawi walaupun pada hakikatnya perbuatan-perbuatan tersebut jelas berdosa dan keji di sisi syarak,” terang teks itu. – UTUSAN