PETALING JAYA: Penyanyi popular, Aina Abdul, menjadi tumpuan warganet sekali lagi apabila dia mengenakan hijab yang disamakan seperti biarawati atau ‘sister’ ketika hadir di sidang media konsert A Night With Aina Abdul 2.0, petang semalam.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, ada segelintir warganet melontarkan komen di media sosialnya, mempersoalkan pemilihan gaya sedemikian selain menjadi bahan jenaka.
Menurut Aina, dia enggan mengambil pusing reaksi-reaksi kurang enak yang diterimanya.
“Sebenarnya penampilan hari ini memang kita nak tampil seperti ini. Bukan sebab apa tetapi memang ‘branding’ Aina Abdul.
“Memang akan ada elemen seperti ini, kejutan punya elemen.
“Saya suka fesyen walaupun nampak macam sister, saya hanya menghargai perkara itu hanya sebagai fesyen,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, penyanyi lagu Semalam itu turut memberitahu fesyen digayakan itu hanya sekadar ‘kenyataan’ yang bersifat sementara.
Tambah Aina, ia juga adalah cara untuk memberi inspirasi kepada mereka yang mahukan kelainan.
“Fesyen cuma untuk kenyataan, kenyataan yang sementara. Bukan kita pakai macam ini, saya berubah atau memuja sesuatu, tidak.
“Ini cara saya untuk memberi inspirasi kepada mereka yang mahukan sesuatu yang lain. Bagi di luar sana, kalau nak ikut, ikutlah.
“Saya bukan minta orang semua pakai tudung macam ini. Kalau nak pakai, bagus untuk awak,” tuturnya panjang.