TERSEKAT-SEKAT nada suaranya di hujung corong telefon.
Ternyata masih belum kuat untuk pelakon hebat ini membuka cerita penuh tentang apa sebenarnya yang terjadi hingga akhirnya dia dan pelakon Azri Iskandar nekad mengambil keputusan untuk bercerai.
Kata Ellie Suriaty, sungguh, keputusan yang dibuat bukan sesuatu yang mudah meski dirinya sendiri yang memfailkan perpisahan itu.
Hendak berbicara keterlaluan pun, ia bukan satu perkara yang sering dipraktikkan oleh Ellie mahupun Azri kerana bagi pelakon ini, kedua-dua mereka selama ini selesa untuk membiarkan perihal kerjaya lebih banyak dibicarakan orang.
Pun begitu, Ellie sedar sebagai selebriti, tidak mungkin selamanya dia mampu melarikan diri tatkala menerima banyak pertanyaan ramai mengenai apa yang terjadi.
“Tak usahlah kita bicara pasal puncanya. Cukuplah sekadar diberitahu yang kami berdua sudah cuba usaha dan tawakal untuk menyelamatkan rumah tangga kami. Keputusan ini juga bukan dibuat dalam keadaan marah atau emosi.
“Bukan berbulan-bulan, tetapi bertahun lamanya saya pertimbangkan. Akhirnya, perceraian ini terpaksa juga dilakukan, mungkin sudah tertulis takdir kami, jodoh setakat ini sahaja,” katanya.
Mengaku dirinya diselubungi kesedihan,kata pelakon berusia 53 tahun ini, 22 tahun mencipta memori dan hidup bersama, perpisahan tentulah bukan apa yang diimpikan bahkan oleh mana-mana pasangan yang membina rumah tangga atas dasar cinta.
“Ia bukan satu tempoh yang sekejap, 22 tahun mengenali, kami sudah lalui pelbagai momen suka dan duka bersama. Turun naik dalam kehidupan, kami sentiasa bersama dalam keadaan susah atau senang.
“Mana mungkin ini sangat mudah. Tipu kalau saya cakap tak sedih. Malah, saya sendiri terpaksa memfailkan perceraian sebab saya tahu Azri tak mampu nak buat. Dia sangat susah nak lepaskan saya.
“Tetapi bila perpisahan ini akhirnya terjadi, saya reda. Sebelum bercerai pun, kami berdua bertanya dan berbincang dengan anak-anak termasuk anak tiri saya. Keluarga kami memang mengamalkan konsep begini.
“Kami ambil pendapat anak-anak, pandangan mereka, perasaan dan emosi mereka. Kami sangat menekankan aspek kesihatan mental anak-anak, tak nak mereka rasa terganggu dengan perpisahan ini,” katanya
JALAN TERAKHIR
Berkongsi lanjut, kata Ellie, dia percaya, seharusnya, mana-mana pasangan ibu bapa yang terpaksa memilih perceraian sebagai jalan terakhir tidak mengetepikan perasaan anak-anak yang menjadi sebahagian daripada institusi sebuah keluarga.
Bersyukur kerana kesemua anak-anak mengerti akan apa yang terjadi, Ellie percaya, anak-anak tidak wajar dijadikan mangsa keadaan jika ibu bapa memilih jalan untuk berpisah.
“Kami sebolehnya tidak mahu melukakan hati anak-anak. Mereka harus tahu apa yang terjadi dan syukur, mereka dapat memahami. Tentu, mereka sangat sedih, tetapi sekurang-kurangnya mereka tahu yang kami berpisah cara baik dan matang.
“Kami tak nak anak-anak rasa tertekan. Saya pindah rumah pun masih berdekatan dengan rumah Azri. Tujuannya bagi memudahkan anak-anak untuk bertemu dan ikatan kekeluargaan itu tidak pernah putus.
“Sekarang, anak perempuan tinggal bersama saya manakala anak lelaki kami tinggal bersama papanya. Alhamdulillah, kami berdua dikurniakan anak-anak yang sangat bertanggungjawab,” katanya.
TAK MAHU WANG RINGGIT
Masih mencuba menyorokkan perasaan yang terbuku di hati, Ellie kerap kali menggunapakai kata reda bagi menggambarkan situasi yang sedang dijalaninya ketika ini.
Sudah tentu, tidak mudah untuk dirinya membuang rasa sayang yang sudah sekian lama tersemat di hati apalagi sudah menjalani kehidupan suami isteri sepanjang tempoh 19 tahun itu.
Jika pasangan lain bercerai hadir dengan pelbagai tuntutan itu dan ini, lain pula yang terjadi pada Ellie yang mengaku enggan melihat ia sebagai keutamaan pilihan.
“Saya tak ada buat apa-apa tuntutan. Saya tak nak berebut harta sepencarian, tak nak benda-benda itu semua. Sedikit pun tiada bicara tentang wang ringgit. Itu tak penting bagi saya. Yang penting adalah kehidupan selama 19 tahun yang kami lalui sebagai suami isteri itu.
“Perkahwinan kami adalah sebuah pengalaman yang luar biasa. Saya sangat hormati Azri sebagai seorang aktor, individu dan bapa kepada anak-anak kami. Saya berterima kasih kepada dia untuk pengalaman yang luar biasa sepanjang bersama.
“Kenangan? Terlalu banyak…Saya bahagia anak-anak termasuk anak-anak tiri yang saling menyayangi dan utuh sebagai sebuah keluarga meski hal ini terjadi.Saya pun tak nak bermusuh dengan Azri, begitu juga dia,” katanya.
HIDUP PENUH UJIAN
Tidak pernah membayangkan ini pengakhiran jalan ceritanya sebagai seorang isteri, kata Ellie, entah mengapa sejak dari dahulu, hidupnya sentiasa penuh dengan ujian.
Masih dia ingat, bagaimana begitu sukar dirinya belajar untuk menerima akan kata reda itu sendiri apabila dia berdepan dengan kehilangan dua orang anaknya yang meninggal dunia sebelum ini.
“Setiap daripada kita, perjalanan hidup kita sebagai hamba sahaya tak sama. Kita semua ada cerita masing-masing dan saya tahu, hidup saya pun memang selalu dilanda banyak ujian. Tapi, ada orang lain yang melalui ujian lagi besar.
“Esok-esok pun, kita balik, tiada apa yang yang menjadi milik kita, tiada yang kekal. Saya sendiri belajar untuk reda masa diuji dengan kehilangan dua anak saya sebelum ini. Kalau sudah reda, maka yang lain mendatang pun, kita boleh terima.
“Kita nak simpan perasaan marah atau dendam pun, sampai bila? Semua orang yang bernikah pasti akan membayangkan akan hidup sampai tua, hingga ke akhir hayat bersama pasangannya. Tapi, ia tidak terjadi pada saya.
“Tak apalah, yang penting, ikatan kekeluargaan kami tidak putus. Kalau kena bekerja dengan Azri pun selepas ini, saya tiada masalah,” katanya.