MELAKA: Wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) merebak di 22 buah pra sekolah di negeri ini, setakat semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, bagaimanapun penularannya masih terkawal dan sesi persekolahan berjalan seperti biasa.
Menurut beliau, mengikut pecahan 21 buah sekolah yang terlibat adalah dalam daerah Alor Gajah dan sebuah di Melaka Tengah.
“Sehingga semalam, kita merekodkan kes HFMD di 22 buah pra sekolah melibatkan 39 murid berusia lima dan enam tahun.
“Bagaimanapun, semua kes ini masih terkawal dan tidak melibatkan penutupan kelas mahupun sekolah,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Melaka 2022 di Banda Hilir di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rais berkata, kini Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sedang membuat pemantauan di kesemua pra sekolah di Alor Gajah bagi mencegah kenaikan kes.
“Ibu bapa tidak perlu panik dengan situasi ini kerana keadaan masih terkawal dan selamat, termasuklah untuk pembelajaran secara bersemuka,” jelasnya. – UTUSAN