LARUT: Sebanyak 42 buah tadika di negeri ini ditutup berikutan peningkatan kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) pada minggu epidemiologi ke-19 (ME19) antara 8 hingga 14 Mei lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau negeri, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, lebih banyak tadika di negeri ini dijangka akan ditutup berikutan peningkatan kes HFMD.
“Minggu lepas, kenaikan kes HFMD ialah 10 peratus dan minggu ini naik 15 peratus daripada biasa. Sehingga masalah ini dapat ditangani, semua tadika ini akan ditutup operasinya sementara.
“Kita nasihat semua pihak supaya berhati-hati dan mengikut nasihat Kementerian Kesihatan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama Perikatan Nasional (PN) Larut di Dewan Majlis Daerah Selama, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Akmal, ada tadika yang sudah ditutup sejak minggu ini berikutan penyakit itu dan ada yang ditutup sukarela atau secara berperingkat.
Menurutnya, pihaknya berharap orang ramai meneruskan amalan langkah berjaga-jaga daripada dijangkiti penyakit itu.
“Penutupan tadika ini dibuat secara sukarela dan arahan di bawah Akta Pencegahan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Daerah Kinta mencatatkan penutupan tadika paling tinggi iaitu sebanyak 20 buah, diikuti enam tadika di Daerah Perak Tengah,” katanya
Semalam, Mohd. Akmal berkata, jumlah kes HFMD secara keseluruhan di negeri ini sebanyak 2,638 kes berbanding hanya 159 kes bagi tempoh yang sama tahun 202i, dan ia menunjukkan peningkatan sebanyak 15.6 kali ganda.
Daripada jumlah itu, kes tertinggi dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun dan ke bawah iaitu 2,465 kes, diikuti 150 kes dalam kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun dan 23 kes yang berumur melebihi 12 tahun. – UTUSAN