MELAKA: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah jalan penyelesaian terbaik bagi memulihkan masalah ekonomi yang teruk melanda negara ketika ini, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, meskipun terdapat sebuah kerajaan yang mentadbir Persekutuan pada hari ini, namun rakyat dilihat tidak yakin dengan kemampuan barisan kepemimpinan yang ada dalam memikul tugas sebaiknya.
Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan, situasi politik negara sememangnya tidak stabil dan perkara tersebut disedari oleh semua pimpinan politik.
“Situasi politik negara kini sebenarnya terumbang-ambing, walaupun ada sebuah kerajaan tetapi rakyat masih tidak yakin dengan kemampuan untuk memikul tugas sebaik-baiknya.
“Dalam keadaan di mana ia saling bertukar sebulan sekali, setahun sekali dan akhirnya memberikan kesan yang besar kepada keyakinan rakyat dan juga keyakinan pelabur-pelabur asing terhadap negara kita.
“Sebab itu mesti ada satu penyelesaian terbaik dan yang terbaik ialah perlu diadakan PRU-15. Bila ada pilihan raya, pihak kerajaan dan Perdana Menteri akan dipilih untuk meneruskan agenda memulihkan negara,” katanya semasa berucap pada Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tangga Batu di Dewan Kompleks Sukan Komuniti Krubong dekat sini, malam tadi.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, sektor pelancongan adalah paling teruk terjejas sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), apabila kerugian kepada negara mencecah RM80 bilion manakala di peringkat domestik pula hampir RM30 bilion.
Jelasnya, usaha untuk memulihkan sektor berkenaan bukan perkara yang mudah, namun jika diberikan perhatian khusus oleh agensi berkaitan, ia dapat dilaksanakan dalam tempoh singkat.
“Baru-baru ini saya mempengerusikan mesyuarat MPN apabila Tourism Malaysia membentangkan laporan, apa yang disebutkan sebagai usaha untuk memulihkan sektor pelancongan di negara kita.
“Tetapi satu perkara yang saya tegur dalam mesyuarat itu ialah disebutkan sektor pelancongan negara mengambil masa lima tahun untuk pulih iaitu sama dengan Rancangan Malaysia, lima tahun.
“Tempoh tersebut dilihat terlalu panjang dan sudah tentu dalam tempoh tersebut akan berlaku banyak isu dan masalah lain,” jelasnya.UTUSAN