Hanya Masjid Kampung Kling kekal nilai sejarah

Hanya Masjid Kampung Kling kekal nilai sejarah

HANYA Masjid Kampung Kling di Jalan Tukang Emas, Banda Hilir, Melaka didakwa masih mempunyai nilai pembinaan asli. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebanyak 55 buah masjid warisan berusia lebih 100 tahun di negeri ini didakwa hilang nilai aslinya apabila disentuh dengan nilai tambah baharu, ketika proses pemuliharaan. 

Perkara itu didedahkan konservator, Kamaruddin Md. Said yang memberitahu, kini hanya sebuah sahaja masjid lama masih kekal dengan nilai sejarahnya.

Katanya, masjid lain yang turut diuruskan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya 1988 bagaimanapun tidak lagi dapat diangkat sebagai bangunan warisan kerana  diubah suai tanpa rujukan pakar sejarah. 

“Di Melaka ini hanya sebuah sahaja masjid yang berusia lebih 100 tahun masih mempunyai nilai pembinaan asli iaitu Masjid Kampung Kling di Jalan Tukang Emas di sini. 

“Sebanyak 55 buah masjid lama yang lain bagaimanapun telah diusik antara 10 hingga 60 peratus ketika proses pemuliharaan termasuk pembesaran ruang solat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membentangkan kertas kerja pada Bengkel Konservasi: Pemulihan Dan Pemuliharaan Warisan Ketara di sini, semalam.

Mengulas lanjut mengenai nilai keaslian itu, beliau mengangkat Masjid Jamek Kampung Sempeng di Serkam sebagai contoh pemuliharaan yang menjejaskan estetika pembinaan asli. 

“Kalau kita lihat masjid itu, bangunannya masih struktur lama tetapi kubah asal ditukar kepada kubah besi. 

Masjid Kling kita percaya ia terselamat kerana lokasinya di kawasan sempit dengan  di belakangnya adalah kuarters kerajaan, manakala di hadapannya jalan raya. Jadi memang tiada ruang untuk sebarang pembesaran,” jelasnya. 

Katanya, keadaan itu disifatkan sebagai satu kerugian kepada anak bangsa kerana tidak dapat melihat karya-karya asli pembinaan masjid, suatu ketika dahulu. 

“Saya menyarankan agar pihak yang ingin memulihara masjid lama mendapatkan nasihat dan pandangan daripada pakar atau pihak lebih arif termasuk Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya