KUALA NERUS: Setelah dua tahun aktiviti gotong-royong memasak terhenti, rutin itu akhirnya kembali disuburkan menerusi Program Rewang Raya di Masjid Seberang Takir di sini.
Program sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022 itu disertai lebih 150 orang termasuk komuniti setempat, ahli jawatankuasa masjid, pelajar universiti dan orang awam.Inisiatif memasak secara bergotong-royong itu selaras dengan konsep Keluarga Malaysia bagi mengeratkan ukhuwah tanpa mengira latar belakang.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pendekatan Rewang Raya itu sekali gus dapat memeriahkan lagi program MRTM Aidilfitri 2022.
![RAYA](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/rewang-raya-nancy-600x399.jpeg)
Rewang Raya adalah sebahagian daripada aktiviti sambutan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri (MRTM) 2022 yang dianjurkan MOTAC.
Terdapat pelbagai pengisian menarik aktiviti pelancongan, seni dan budaya diadakan sepanjamg tiga hari bermula 19 hingga 21 Mei di Dataran Drawbridge, Kuala Nerus, Terengganu.
Nancy berkata, antara menu yang disediakan untuk 2,000 tetamu itu ialah daging kawah, ayam masak merah, sambal belacan, ikan masin dan acar
“Kita mahu meraikan Syawal dengan komuniti Terengganu sekali gus dapat mengangkat budaya gotong-royong kepada masyarakat luar.
“Di samping itu kita turut mengagihkan 80 pek daging kepada kalangan asnaf,” katanya selepas program itu baru-baru ini.
![RAYA](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/rewang-raya-nancy2-600x401.jpeg)
Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Terdahulu, kedua-duanya turut melapah daging dan membantu para petugas memasak hidangan.
Sementara itu, seorang rakan strategik Rewang Raya, Datuk Michael Liew Kit Seong teruja dapat menyumbangkan bantuan kewangan bernilai RM15,000 bagi menjayakan program berkenaan.
Katanya, inisiatif gotong-royong merupakan amalan rakyat Malaysia dan perlu diteruskan sampai bila-bila bagi menonjolkan keunikan budaya tempatan. – UTUSAN