BAGAN DATUK: Pemimpin dan ahli Barisan Nasional (BN) khususnya dalam UMNO diminta memberi sepenuh tumpuan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mulai sekarang.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sekarang adalah masa untuk memberikan fokus memastikan kemenangan besar BN dan UMNO pada PRU-15, bukannya pemilihan dalam parti.
Tegas beliau, pemimpin dan ahli parti itu perlu memastikan BN dan UMNO mencatat kemenangan dalam PRU -15 terlebih dahulu sebelum memikirkan siapa yang mereka mahukan untuk menerajui parti itu selepas ini.
“Jika menang sebulan berpuasa, kita boleh menyambut hari raya. Momentum daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, kita boleh fokus kepada PRU-15 untuk menjadi milik BN.
“Jadi, selepas hari raya, akan ada ‘raya’ yang penting iaitu pilihan raya,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Aidilftri Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis di Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini hari ini.
Menurut Saarani yang juga Menteri Besar Perak, pemimpin serta ahli BN dan UMNO perlu menyematkan dalam pemikiran mereka bahawa parti itu perlu menang PRU-15 untuk memberi kebajikan kepada rakyat.
Beliau juga meminta mereka menjelaskan kepada rakyat bahawa menukar kerajaan bukan seperti menukar baju dan tidak mengulangi kesilapan PRU-14 yang menyaksikan BN ditumbangkan.
“Sekarang semua dah merasa jadi kerajaan, PH (Pakatan Harapan) dah rasa, PN (Perikatan Nasional) dah rasa, tapi ramai yang mengatakan bahawa BN juga yang paling baik,” ujar beliau. – UTUSAN