Feri pertama dari Dumai tiba di Melaka - Utusan Malaysia

Feri pertama dari Dumai tiba di Melaka

MASRIKA Sukeme memeluk Syafiq Aditya Ababil sejurus selepas anaknya itu tiba di balai ketibaan ICQS, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai 175 pelancong dari Indonesia tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini hari ini, selepas dua tahun pintu sempadan ditutup akibat pandemik Covid-19.

Suasana di balai ketibaan turut bertukar meriah dengan pelbagai ragam termasuk penyatuan ahli keluarga yang terpisah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Salah seorang pelawat, Masrika Sukeme, 44, memberitahu, dia dan suami, Siyatno Harun, 54, datang ke ICQS dari Kampung Melayu Subang, Selangor bagi menjemput anak sulungnya dari Pekan Dumai.

Katanya, kali terakhir dia berjumpa dengan anaknya, Syafiq Aditya Ababil, 22, adalah pada 2019 dan terpisah selepas negara melaksanakan PKP tahun berikutnya.

“Saya sangat teruja, malah saya dan suami bersama-sama dua lagi anak kami bertolak seawal pukul 6 pagi dari Selangor untuk ke sini, menjemput anak sulung. Kali terakhir saya berjumpa dengannya pada 2019, selepas itu kami hanya berhubung menerusi aplikasi WhatsApp dan apabila dapat tahu pintu sempadan ini akan dibuka kami terus membeli tiket feri untuk anak,” katanya ketika ditemui di balai ketibaan ICQS di sini hari ini.

Jelasnya, dia dan suami menetap di negara ini lebih 20 tahun lalu, malah Siyatno juga telah mendapat status kerakyatan Malaysia.

“Anak sulung kami juga membesar di sini sehingga tingkatan lima dan selepas itu dijaga oleh neneknya di Indonesia,” jelasnya.

Sementara itu, Edi Wirianto, 66, berkata, dia yang menetap di Pekan Baru membeli tiket feri ke Melaka pada pagi tadi, bagi melakukan semula rawatan susulan di Hospital Mahkota di sini, selepas terpaksa ditunda sejak 2020.

“Saya membuat rawatan di sini sejak 1998 dan akan melakukan rawatan susulan setiap tiga bulan kerana mengalami masalah urat. Saya cukup gembira hari ini kerana dapat melakukan semula rutin perubatan setelah sekian lama tertunda,” katanya.

Terdahulu, feri pertama dari Dumai, Indomal Kingdom, Indonesia tiba di pelabuhan pada pukul 12.20 tengah hari tadi dan disambut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya